KUALA LUMPUR: Kejatuhan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sekadar detik hitam tetapi merupakan peringatan keras untuk parti bagi menilai semula kesilapan sepanjang pemerintahan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kekalahan pada 2018 itu merupakan kejutan untuk semua ahli parti.
Kata beliau, ia menuntut UMNO untuk melihat semula kesilapan yang dilakukan sepanjang lapan dekad pentadbiran.
“Kekalahan kita pada PRU14 bukan sekadar kekalahan politik, ia merupakan tamparan yang hebat, satu detik hitam dan wake up call yang menggoncang jiwa perjuangan ahli-ahli UMNO. Kita memilih untuk bermuhasabah serta tidak menunding jari atau mencari alasan, sebaliknya memilih untuk melihat ke dalam diri sendiri dan bertanya dengan jujur.
“Dalam mencari jawapan, kita tidak menafikan bahawa dalam perjalanan yang panjang ada ketika kita tersasar, ada ketika kerakusan dan ketamakan mengatasi keikhlasan, ada ketika fitnah serta persepsi menenggelamkan perjuangan,” katanya berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Onn Hafiz turut menyeru seluruh ahli UMNO untuk terus bersatu dan membina semula kekuatan parti.
“Perjalanan kita masih lagi jauh, perjuangan ini masih belum selesai. Ayuh kita mulakan tekad dan satukan hati, kita rapatkan saf serta bina semula kekuatan parti ini.
“Marilah kita bangkit dengan keinsafan, bangkit dengan kesatuan serta demi agama, bangsa dan tanahair,” katanya. – UTUSAN








