Wabak hantavirus serang kapal persiaran, 150 penumpang terkandas

Wabak hantavirus serang kapal persiaran, 150 penumpang terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Petugas perubatan berusaha memindahkan dua penumpang yang mengalami simptom hantavirus selepas wabak tersebut dikesan di atas sebuah kapal persiaran mewah yang ditahan di luar pesisir Afrika Barat, menurut pihak berkuasa.

Lapor Reuters, sekitar 150 orang masih berada di atas kapal tersebut selepas sepasang suami isteri dari Belanda dan seorang lelaki Jerman dilaporkan meninggal dunia, manakala beberapa penumpang lain jatuh sakit.

Seorang warga Britain yang turut dijangkiti telah meninggalkan kapal dan sedang dirawat di Afrika Selatan.

Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Nasional Belanda (RIVM) yang membantu menyiasat wabak itu berkata, hantavirus telah disahkan pada salah seorang pesakit yang menunjukkan simptomnya.

Sumber yang dimaklumkan mengenai kes itu berkata, wanita Belanda yang meninggal dunia juga telah diuji positif virus berkenaan.

Namun RIVM berkata, masih belum jelas sama ada pesakit lain yang menunjukkan simptom turut dijangkiti virus itu, atau sama ada kematian lain juga disebabkan oleh virus tersebut.

Hantavirus yang boleh menyebabkan penyakit pernafasan membawa maut, tersebar apabila zarah daripada najis atau air kencing tikus menjadi bawaan udara. Ia tidak mudah merebak antara manusia.

Tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini, dengan rawatan tertumpu kepada penjagaan sokongan termasuk penggunaan ventilator dalam kes serius.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, risiko kepada orang awam adalah rendah dan disaran tidak perlu panik atau melakukan sekatan perjalanan. Namun pihak berkuasa Cape Verde tidak membenarkan kapal MV Hondius yang berdaftar di Belanda berlabuh sebagai langkah berjaga-jaga.

WHO berkata, terdapat tujuh kes hantavirus di atas kapal itu, termasuk dua kes disahkan makmal dan lima kes disyaki.

“Kami bukan sekadar berita. Kami manusia dengan keluarga, dengan kehidupan, dengan orang yang menunggu kami di rumah. Banyak ketidakpastian, dan itu bahagian yang paling sukar,” kata seorang penulis blog pelancongan dari Amerika Syarikat (AS), Jake Rosmarin dalam video Instagram dari kapal itu.

Jurucakap syarikat pengendali kapal yang berpangkalan di Belanda, Oceanwide Expeditions berkata, semua penumpang diarahkan kekal di kabin masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan.

Walaupun jangkitan antara manusia jarang berlaku, tempoh inkubasi boleh mengambil masa beberapa minggu, bermakna sesetengah individu mungkin belum menunjukkan simptom.

Syarikat itu sedang berusaha mengatur pemindahan dua kru yang menunjukkan simptom, seorang warga Britain dan seorang warga Belanda serta mayat lelaki Jerman dan seorang penumpang yang rapat dengan si mati tetapi tidak menunjukkan simptom.

Syarikat itu juga sedang menilai kemungkinan untuk menapis dan memindahkan penumpang di pulau Las Palmas dan Tenerife.

Pihak berkuasa Sepanyol berkata, mereka belum menerima permohonan untuk kapal itu berlabuh.

Kementerian Luar Belanda yang akan mengemukakan permohonan tersebut menurut syarikat, belum memberi respons.

Kementerian Kesihatan Afrika Selatan mengesahkan dua daripada mangsa yang meninggal dunia ialah warga Belanda, seorang lelaki berusia 70 tahun yang meninggal di St Helena pada 11 April, dan isterinya berusia 69 tahun yang meninggal di Johannesburg selepas rebah di lapangan terbang.

Lelaki warga Britain yang dirawat di klinik swasta di Johannesburg mula jatuh sakit pada 27 April, manakala mangsa warga Jerman meninggal di atas kapal pada 2 Mei.

Hantavirus biasanya bermula dengan simptom seperti selesema termasuk keletihan dan demam satu hingga lapan minggu selepas pendedahan.

Jurucakap RIVM berkata, punca wabak masih belum diketahui.

“Mungkin tikus di atas kapal menyebarkan virus ini. Namun ada juga kemungkinan jangkitan berlaku semasa persinggahan di Amerika Selatan melalui tikus atau haiwan kecil lain,” katanya.

Profesor pelawat di Geneva Graduate Institute, Daniel Bausch berkata, terdapat bukti penularan antara manusia untuk satu jenis hantavirus di Argentina dan Chile.

“Menariknya, pelayaran kapal ini bermula di Argentina. Namun berita baiknya ini tidak akan menjadi wabak besar,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN