SEPANG: Proses pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka mengambil masa hanya empat saat menerusi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan sistem ‘autogate’ itu kini dilaksanakan secara berperingkat dan dilaksanakan sepenuhnya pada Jun ini.
Beliau berkata, sistem itu akan menjadi ‘game changer’ dalam mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, sama ada bagi ketibaan mahupun pelepasan penumpang.
“Di KLIA sahaja, lebih 60 hingga 65 autogate akan disediakan melibatkan laluan masuk dan keluar negara.
“Sekarang sebahagiannya sudah dipasang, di mana seseorang itu boleh melepasi pemeriksaan dengan tiga cara iaitu pengecaman wajah, penggunaan kod QR dan pasport.
“Saya tengok tadi, masa yang diambil sekitar empat hingga lima saat dan apabila diuji kepada pengguna, tempohnya juga dalam julat yang sama,” katanya ditemui selepas meninjau operasi kawalan sempadan di KLIA hari ini.
Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan adalah sebahagian usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan pintu masuk negara tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Saifudin berkata, peningkatan jumlah pelawat ke negara ini yang mencecah 4.6 juta orang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini menuntut tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, termasuk penggunaan teknologi secara menyeluruh.
“Ini penting kerana kita tidak mahu lagi berdepan dengan keadaan kesesakan di lapangan terbang. Pada masa sama, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem (MyNIISe) masih dalam fasa peralihan daripada sistem lama dan berkemungkinan berdepan gangguan teknikal.
Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian akan berusaha meminimumkan sebarang gangguan sepanjang tempoh tersebut.
Selain itu, beliau berkata, penggunaan teknologi turut diperkasakan melalui pemantauan hampir 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di terminal bagi membantu agensi penguat kuasa mengesan sebarang ancaman atau pelanggaran undang-undang.-UTUSAN










