PETALING JAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan diarahkan untuk mengurangkan kadar sewaan premis perniagaan milik mereka kepada peniaga mulai bulan ini dalam usaha membantu menurunkan kos operasi golongan terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencari kaedah untuk mengurangkan beban peniaga mengikut keupayaan sendiri dan langkah pertama dilakukan adalah mengurangkan kadar sewa.
Katanya, kebanyakan premis perniagaan di luar sana dimiliki oleh GLC atau agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).
“Mulai bulan ini juga akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka. Perkara itu akan diumumkan mengikut daerah dalam masa terdekat ini,” katanya dalam Sidang Media Krisis Bekalan Global, hari ini.
Perdana Menteri berkata, meneladani inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menurunkan kadar sewaan premis miliknya, beliau turut menyeru supaya semua PBT di negeri-negeri seluruh negara untuk mengambil pendekatan sama mulai bulan ini.
“Saya ucapkan terima kasih kerana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah menyambut secara positif dan mengumumkan dalam masa yang terdekat, menurunkan kadar sewa semua premis perniagaan terutama perniagaan kecil, penjaja dan kedai-kedai makanan.
“Tentunya ini bidang kuasa PBT dan Kerajaan Negeri yang lain, dan saya ingin mengesa mereka menurunkan dengan kadar segera dan berkuat kuasa bulan ini juga, untuk mengurangkan tekanan dan beban yang memang dihadapi oleh peniaga dan penjaja ini,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi bahawa inisiatif itu diambil susulan keluhan peniaga-peniaga yang terkesan akibat kenaikan harga kos walaupun ia diakui tidak begitu melonjak berbanding sebelumnya.
“Minggu lalu sebelum solat Jumaat saya ke gerai, warung makan di Rawang dan kakak itu, walaupun cara baik dan sopan, saya terasa keluhannya kerana terpaksa berdepan dengan kos barangan yang meningkat, walaupun kata beliau sedikit.
“Tapi sedikit (jika berlaku kenaikan) setiap minggu, jadi kalau sudah empat minggu berterusan tentunya mengesankan dan menyukarkan perniagaan beliau,” katanya.-UTUSAN










