SEPANG: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) hari ini melancarkan MyKLIA Monthly Travel Card (MTC) dan MyPutrajaya MTC iaitu inisiatif strategik yang menawarkan kadar tambang lebih rendah dan berpatutan khusus kepada pengguna yang kerap menggunakan laluan terpilih.
MyKLIA MTC ditawarkan secara eksklusif kepada komuniti lapangan terbang yang bekerja di KLIA Terminal 1 (T1) dan T2, manakala MyPutrajaya MTC khusus untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya dan Cyberjaya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu adalah selaras dengan aspirasi kerajaan bagi membantu meringankan kos sara hidup selain respon terhadap krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.
“Inisiatif ini adalah opsyen yang lebih murah kepada warga kerja yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja terutamanya mereka yang bekerja di syarikat penerbangan atau sektor peruncitan (retailers) di lapangan terbang ini.
“Kita bukan sahaja menggalakkan penggunaan pengangkutan awam tetapi dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian sekali gus menjimatkan minyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran pas Bulanan MyPutrajaya dan MyKLIA di Stesen KLIA Ekspres & KLIA Transit KLIA T2 di sini hari ini.
Kedua-dua pas bulanan tersebut boleh mula dibeli bermula 24 April hingga 1 Julai dengan tempoh sah perjalanan dari 1 Mei hingga 31 Julai.
Bagi MyKLIA MTC, tambang laluan KLIA T1/T2 – Salak Tinggi diturunkan daripada RM180 kepada RM150, manakala laluan KLIA T1/T2 – Putrajaya dan Cyberjaya berkurang daripada RM230 kepada RM150.
Selain itu, tambang bagi laluan KLIA T1/T2 – Bandar Tasik Selatan dikurangkan daripada RM345 kepada RM250, sementara laluan KLIA T1/T2 – KL Sentral pula dikurangkan daripada RM420 kepada RM250.
Bagi MyPutrajaya MTC, laluan Putrajaya & Cyberjaya – Salak Tinggi menyaksikan tambang diturunkan daripada RM110 kepada RM75, manakala laluan Putrajaya dan Cyberjaya – Bandar Tasik Selatan pula berkurang daripada RM195 kepada RM150.
Dalam pada itu, tambang bagi laluan Putrajaya dan Cyberjaya – KLIA T1/T2 diturunkan daripada RM230 kepada RM150, manakala laluan Putrajaya & Cyberjaya – KL Sentral dikurangkan daripada RM350 kepada RM250.
Mengulas lanjut, Loke berkata, pekerja harus menyerahkan maklumat peribadi kepada majikan dan majikan pula dikehendaki menghantar borang yang telah lengkap ke [email protected] untuk pengesahan.
Bagi MyPutrajaya MTC, penjawat awam yang layak perlu mendaftarkan MyKad mereka secara dalam talian melalui laman laman web https://mykad.KLIAekspres.com/ dan setelah pengesahan dibuat, penjawat awam yang layak akan menerima e-mel pengesahan untuk pembelian MyPutrajaya MTC.-UTUSAN










