SPRM tingkat profesionalisme tangani jenayah rasuah makin kompleks

SPRM tingkat profesionalisme tangani jenayah rasuah makin kompleks

AZAM Baki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan cabaran semakin kompleks untuk membanteras rasuah susulan evolusi modus operandi penjenayah lebih tersusun dibantu penggunaan teknologi digital dan transaksi rentas sempadan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, senario itu menuntut seluruh warga SPRM meningkatkan tahap profesionalisme, ketelusan dan integriti yang lebih tinggi.

Beliau berkata, SPRM turut berdepan cabaran persepsi serta kepercayaan awam dalam era maklumat tanpa sempadan apabila setiap tindakan penguatkuasaan sentiasa diperhatikan dan dinilai masyarakat di dalam serta luar negara.

“Evolusi modus operandi rasuah kini semakin canggih, melibatkan penggunaan teknologi digital, transaksi rentas sempadan serta jaringan yang lebih tersusun.

“Adalah penting untuk kita terus memperkukuhkan daya tahan organisasi, meningkatkan kompetensi warga kerja serta mengamalkan budaya kerja berintegriti,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) SPRM Tahun 2025 bertemakan ‘Integriti Dijulang, Perkhidmatan Cemerlang’ di Bangi Avenue Convention Centre di sini, hari ini.

Menurutnya, tema ‘Integriti Dijulang, Perkhidmatan Cemerlang’ bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi prinsip asas dan nadi kepada setiap tindakan serta keputusan warga SPRM dalam melaksanakan amanah kepada negara.

Pada majlis itu, seramai 233 warga SPRM menerima anugerah dengan 146 penerima dari Ibu Pejabat dan 87 lagi dari SPRM negeri.

Selain itu, sebanyak 33 Anugerah Khas dan dua Anugerah Emas turut disampaikan menerusi Anugerah Ketua Pesuruhjaya (AKPJ) membabitkan 67 pencalonan diterima.

Azam berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kecemerlangan berteraskan integriti terus subur dalam organisasi itu, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap SPRM.

Pada majlis itu juga, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM menerima Anugerah Khas AKPJ menerusi tajuk projek Pengiktirafan Antarabangsa Bagi Komunikasi Strategik (ASEAN Awards dan RAGAN).

Bagi Anugerah Emas AKPJ pula diterima oleh Bahagian Siasatan SPRM atas kejayaan membongkar Kartel Perolehan Angkatan Tentera Malaysia melalui Ops Parasit dan Ops Star mananakala Bahagian Perundangan dan Pendakwaan menerusi Kejayaan Kes Berprofil Tinggi: Public Prosecutor vs Mohd Najib bin Abdul Razak (IMDB).

“SPRM juga perlu berbangga kerana telah mencapai kecemerlangan di dalam dan luar negara antaranya menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) dengan negara luar misalnya bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Arab Saudi yang mencerminkan keyakinan negara-negara ini terhadap prestasi SPRM,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN