WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berlepas ke China bersama Presiden, Donald Trump walaupun beliau masih dikenakan sekatan oleh negara itu dengan satu jalan penyelesaian diplomatik yang dipercayai berlaku selepas Beijing menukar transliterasi nama beliau dalam bahasa Cina.
Ketika menjadi Senator AS, Rubio, 54, terkenal sebagai pengkritik tegar rekod hak asasi manusia China. Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan sekatan terhadap beliau sebanyak dua kali, pendekatan yang lazimnya lebih sinonim dengan tindakan AS terhadap musuhnya.
Namun selepas Trump melantik Rubio sebagai Setiausaha Negara, China dilihat mencari jalan diplomatik untuk mengatasi isu itu.
Tidak lama sebelum Rubio mengangkat sumpah pada Januari 2025, kerajaan dan media rasmi China mula menggunakan aksara Cina berbeza bagi bunyi ‘Lu’ bagi suku kata pertama nama keluarganya.
Dua diplomat berkata, mereka percaya perubahan itu dibuat kerana Rubio tertakluk kepada sekatan, termasuk larangan memasuki China, di bawah ejaan lama namanya dalam bahasa Cina.
Kedutaan China tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen.
Seorang pegawai Jabatan Negara AS hanya mengesahkan Rubio mengiringi Trump ke China. Rubio dilihat menaiki pesawat Air Force One di Pangkalan Tentera Udara Andrews.
Rubio, seorang rakyat Amerika berketurunan Cuba yang lantang menentang komunisme, merupakan penggubal utama undang-undang Kongres yang mengenakan sekatan besar terhadap China berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa ke atas minoriti Muslim Uyghur. Beliau juga sering mengkritik tindakan keras Beijing di Hong Kong.
Dalam pendengaran pengesahannya sebagai Setiausaha Negara, Rubio memberi tumpuan besar terhadap China yang disifatkannya sebagai musuh yang belum pernah dihadapi sebelum ini.
Namun sejak memegang jawatan, Rubio menyokong pendekatan Trump yang menganggap Presiden China, Xi Jinping sebagai ‘rakan’, selain memberi fokus kepada hubungan perdagangan sambil mengurangkan penekanan terhadap isu hak asasi manusia.
Tahun lalu, Rubio turut memberi kelegaan kepada Taiwan apabila mengumumkan pentadbiran Trump tidak akan berunding mengenai masa depan pulau yang memerintah sendiri itu semata-mata untuk mendapatkan perjanjian perdagangan dengan China.-AFP










