Kaki Mas Siti Rosnani dipotong, elak jangkitan

Kaki Mas Siti Rosnani dipotong, elak jangkitan

MAS Siti Rosnani Rosli menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kaki kanan seorang kanak-kanak yang ce­dera parah selepas motosi­kal ditunggang bersama abang dan dua anak saudaranya me­rempuh sebuah kereta guru di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang, kelmarin dipotong bagi mengelakkan komplikasi.

Mas Siti Rosnani Rosli, 7, selamat menjalani pembedahan memotong kaki sehingga paras paha di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 5 pagi semalam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kakaknya, Mas Asmah, 19, berkata, kanak-kanak itu dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan selepas dipindahkan dari Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, kelmarin.

Kaki Mas Siti Rosnani terpaksa dipotong selepas meng­alami darah beku, tisu dan daging pada bahagian kakinya pula sudah mati akibat kom­plikasi yang serius.

“Tiga termasuk seorang adik dan dua anak saudara saya sudah sedar dan masih menerima rawatan di HSIP. Adik, Muhammad Muskir, 14, dan anak saudara, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9 dijangka menjalani pembedahan memasukkan besi pada paha hari ini (semalam).

“Kemalangan menyebabkan kaki Muhammad Muskir mengalami kecederaan parah apabila tulang paha kanannya hancur,” katanya.

Mas Asmah berkata, dia bersama keluarganya terus ber­doa agar Mas Siti Rosnani dapat keluar daripada zon kritikal.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, perjalanan empat sekeluarga ke sekolah bertukar tragedi apabila motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta dipandu seorang guru dalam kemalangan di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, seorang pelajar tingkatan dua, Muhammad Muskir Rosli, 14, bersama adiknya, Mas Siti Rosnani serta dua anak saudara mereka, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, cedera parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN