WASHINGTON: Seramai 10 pelaut awam terkorban akibat konflik yang berterusan di Selat Hormuz, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio kepada wartawan.
Bercakap di Rumah Putih, Rubio berkata, AS akan terus mengerahkan aset ketenteraannya bagi mempertahankan kebebasan pelayaran di laluan penting itu.
“Mereka terasing, mereka kebuluran, mereka terdedah dan sekurang-kurangnya 10 kelasi awam telah meninggal dunia,” kata Rubio, tanpa memberikan butiran lanjut.
Rubio menegaskan AS sedang mengambil tindakan defensif dalam melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran. Katanya, operasi ketenteraan awal terhadap Iran telah berakhir.
“Kami hanya bertindak balas jika diserang terlebih dahulu. Ini adalah operasi pertahanan.
“Jika tiada tembakan dilepaskan ke arah kapal-kapal ini dan tiada tembakan ke arah kami, kami tidak akan menembak, tetapi jika kami ditembak, kami akan bertindak balas,” kata Rubio dalam sidang media.
Rubio memaklumkan AS telah berhubung dengan beberapa kapal untuk mengarahkan mereka keluar dari selat tersebut, seiring dengan kenyataan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth.
United Arab Emirates (UAE) berkata, negara itu diserang oleh peluru berpandu dan dron Iran pada Selasa, walaupun Washington menyatakan gencatan senjata yang rapuh masih kekal.
Hegseth berkata, ratusan kapal sedang menunggu untuk melalui laluan air kritikal itu. Sebelum AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, kira-kira 20 peratus bekalan minyak global melalui selat itu setiap hari.
Menurut Rubio, sudah tiba masanya untuk Teheran menerima realiti keadaan, sambil menambah utusan AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner terus meneroka penyelesaian diplomatik.
Penyelesaian itu, katanya, perlu menangani bahan nuklear yang masih dimiliki Iran yang disembunyikan jauh di bawah tanah.
“Presiden jelas bahawa sebahagian daripada proses rundingan bukan sahaja tentang pengayaan, tetapi juga apa yang berlaku kepada bahan yang masih disimpan jauh di bawah tanah yang mereka masih boleh capai jika mereka mahu menggalinya semula,” katanya.
Rubio enggan memberikan butiran mengenai kemajuan rundingan dan berkata, perjanjian sebenar tidak perlu dimuktamadkan dalam satu hari.
“Ini sangat kompleks dan sangat teknikal, tetapi kita perlu ada penyelesaian diplomatik yang jelas tentang perkara yang mereka sanggup runding dan sejauh mana konsesi yang mereka sanggup buat dari awal supaya rundingan itu berbaloi,” katanya.-AGENSI










