PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 itu bermula esok sehingga 8 Mei dilihat mampu dijadikan platform kepada Malaysia untuk berkongsi dan bertukar pandangan mengenai pembinaan Komuniti ASEAN serta hala tuju masa depan blok serantau itu.
“Perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada impak krisis di Asia Barat terhadap rantau Asia Tenggara, serta respon ASEAN dalam memastikan keselamatan tenaga dan keterjaminan bekalan makanan serantau, di samping menjaga keselamatan warga ASEAN di kawasan yang terjejas.
“Penyertaan Perdana Menteri juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan dan daya tahan rantau ini dalam persekitaran global yang semakin kompleks,” katanya.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang diadakan di sela sidang utama.
Anwar juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari negara-negara ASEAN.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 akan didahului beberapa mesyuarat peringkat menteri, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Ke-31, Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-38 serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri dan Ekonomi ASEAN. – UTUSAN










