Permusuhan di Iran sudah tamat - Trump

Permusuhan di Iran sudah tamat – Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata menamatkan permusuhan terhadap Iran demi menguatkan hujah beliau tidak memerlukan kebenaran penggubal undang-undang bagi meneruskan konflik itu.

Trump yang berdepan tekanan dalam negara untuk mendapatkan kelulusan Kongres bagi perang tersebut, memaklumkan perkara tersebut’ walaupun tiada perubahan pada penempatan tentera AS.

Dalam surat kepada pemimpin Kongres pada Jumaat, iaitu tarikh akhir untuk melaporkan kepada Kongres mengenai perang, Trump berkata, tiada lagi pertukaran tembakan dengan Iran sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.

“Permusuhan yang bermula pada 28 Februari 2026 telah ditamatkan,” katanya dipetik Reuters.

Di bawah Resolusi Kuasa Perang 1973, seorang Presiden AS hanya boleh menjalankan operasi ketenteraan selama 60 hari sebelum perlu menamatkannya, mendapatkan kelulusan Kongres, atau memohon lanjutan 30 hari atas alasan ‘keperluan ketenteraan’ yang tidak dapat dielakkan demi keselamatan anggota tentera AS semasa proses pengunduran.

Pada Jumaat, agensi berita kerajaan Iran IRNA melaporkan Teheran telah menghantar cadangan terbaharu untuk rundingan dengan AS melalui pengantara Pakistan, namun Trump segera menolaknya.

Presiden AS itu secara rasmi memaklumkan Kongres mengenai konflik tersebut 48 jam selepas serangan udara pertama dua bulan lalu, sekali gus memulakan kiraan 60 hari yang berakhir pada 1 Mei.

Ketika tarikh itu semakin hampir, pembantu Kongres dan penganalisis menjangka pentadbiran Republikan akan mencari jalan untuk mengelak had masa tersebut.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Trump berkata, pandangan pentadbiran ialah tarikh akhir di bawah undang-undang kuasa perang itu tidak terpakai. 

Trump juga berkata, beliau menganggap undang-undang itu tidak berperlembagaan, pandangan yang pernah dibangkitkan oleh presiden daripada kedua-dua parti, namun belum diputuskan oleh mahkamah.

“Kami ada gencatan senjata, jadi itu memberi anda masa tambahan,” katanya sebelum berlepas dari Washington ke Florida.

Ahli Demokrat di Kongres berulang kali cuba meluluskan undang-undang kuasa perang yang akan memaksa Trump menamatkan perang atau mendapatkan kelulusan Kongres dan mereka menolak kenyataan itu, menegaskan tidak ada peruntukan dalam undang-undang 1973 yang membenarkan gencatan senjata. 

Mereka juga berkata, penempatan berterusan kapal perang AS yang menyekat eksport minyak Iran adalah bukti permusuhan masih berterusan, bukan gencatan senjata.

“Selepas 60 hari konflik, Trump masih tidak mempunyai strategi atau jalan keluar untuk perang yang dirancang dengan buruk ini,” kata Senator, Jeanne Shaheen dari New Hampshire.

Dalam suratnya kepada Kongres, Trump mengakui konflik itu mungkin belum selesai. Beliau berkata, Iran masih menimbulkan ancaman ‘ketara’ kepada AS dan pasukan tenteranya.

Tinjauan menunjukkan perang itu tidak popular dalam kalangan rakyat AS sendiri, ketika pilihan raya November semakin hampir yang akan menentukan kawalan Kongres tahun depan.

Perlembagaan AS menyatakan hanya Kongres, bukan presiden, boleh mengisytiharkan perang, tetapi sekatan itu tidak terpakai untuk operasi jangka pendek atau tindakan terhadap ancaman segera.

Pada Khamis, Trump menerima taklimat mengenai rancangan untuk serangan ketenteraan baharu bagi memaksa Iran berunding untuk menamatkan konflik tersebut.

Jika pertempuran disambung semula, Trump boleh memberitahu penggubal undang-undang bahawa beliau telah memulakan kiraan 60 hari yang baharu. 

Presiden daripada kedua-dua parti berulang kali berbuat demikian ketika menjalankan permusuhan berselang-seli sejak Kongres meluluskan undang-undang kuasa perang sebagai tindak balas kepada Perang Vietnam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN