BORDEAUX: Pihak berkuasa Perancis membenarkan penumpang tanpa gejala meninggalkan sebuah kapal persiaran Britain selepas mengesahkan wabak penyakit di atas kapal itu berpunca daripada virus gastrointestinal, susulan kematian seorang warga emas akibat serangan jantung.
Sebelum itu, pihak berkuasa mengenakan perintah kuarantin terhadap lebih 1,700 penumpang dan kru kapal tersebut, namun menegaskan tiada kaitan dengan wabak hantavirus yang disyaki mengorbankan tiga individu di atas kapal persiaran Belanda, MV Hondius, yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.
Ujian mengesahkan wabak di atas kapal Ambition yang berlabuh di pelabuhan Bordeaux di barat Perancis, adalah jangkitan gastrousus berpunca daripada virus, menurut kenyataan kerajaan tempatan dan agensi kesihatan serantau.
Mereka berkata, tiada kes serius direkodkan dan individu tanpa gejala kini dibenarkan turun dari kapal, namun mereka yang dijangkiti perlu terus menjalani pengasingan di atas kapal.
Berita mengenai kematian seorang penumpang Britain berusia 92 tahun di atas kapal itu ketika puluhan penumpang lain mengalami sakit perut pada awalnya mencetuskan kebimbangan.
Namun pihak kesihatan berkata, lelaki tersebut meninggal dunia akibat serangan jantung dan kematiannya dipercayai tidak berkaitan dengan wabak penyakit itu.
“Pada tahap ini, tiada kaitan dikenal pasti dengan episod gastroenteritis tersebut,” kata pihak berkuasa.
Pihak pelabuhan berkata, mayat lelaki itu masih berada di atas kapal selaras dengan konvensyen antarabangsa.
Menurut pihak berkuasa, sejak Isnin, seramai 80 individu di atas kapal mengalami simptom sepadan dengan jangkitan akut sistem pencernaan.
Mereka berkata, perintah kuarantin dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga tambahan dan bagi mengelakkan panik, susulan kebimbangan antarabangsa terhadap wabak hantavirus di atas kapal MV Hondius yang belayar dari Argentina dan kini dalam perjalanan pulang ke Belanda selepas dipindahkan.
Kapal Ambition yang dikendalikan syarikat Britain, Ambassador Cruise Line, tiba di Bordeaux pada Selasa dengan membawa 1,233 penumpang, kebanyakannya dari Britain dan Ireland, serta 514 kru.
Seorang penumpang yang menjalani kuarantin di atas kapal, Seos Guilidhe, 52, dari Belfast di Ireland Utara, menghantar mesej kepada AFP menerusi Facebook ketika beliau sedang bermain bingo.
“Kami berada di atas kapal dengan garis panduan sanitasi tambahan dilaksanakan. Ia tidak seteruk semasa Covid-19. Orang ramai menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Penumpang juga dilihat mengambil gambar bandar Perancis itu dari dek kapal.
Guilidhe kemudian menghantar mesej kepada AFP memaklumkan penumpang dibenarkan turun dari kapal sejurus selepas sekatan ditarik balik.
Pihak berkuasa berkata, simptom memuncak pada Isnin ketika kapal itu berlabuh di Brest.
Lelaki yang meninggal dunia itu dilaporkan maut sebelum kapal persiaran tersebut tiba di pelabuhan wilayah Brittany di barat laut Perancis.
Kapal itu meninggalkan Kepulauan Shetland di utara Scotland pada 6 Mei, singgah di Belfast dan Liverpool sebelum tiba di Bordeaux dan dijadualkan meneruskan perjalanan ke Sepanyol.
Ia pada asalnya dijadualkan kembali ke Liverpool pada 22 Mei.
Syarikat pelayaran itu berkata, data mereka menunjukkan peningkatan kes penyakit selepas penumpang menaiki kapal di Liverpool pada Sabtu lalu.-AFP










