OSLO: Pihak berkuasa Norway mengumumkan kes selesema burung dikesan pada seekor beruang kutub buat kali pertama di Eropah, di wilayah Svalbard di Artik.
Varian virus H5N5 itu dikesan menerusi sampel yang diambil daripada seekor beruang jantan berusia kira-kira setahun serta seekor walrus yang ditemui mati pada pertengahan Mei di kepulauan berais itu, sekitar 1,000 kilometer dari Kutub Utara, menurut Institut Veterinar Norway.
“Keputusan ini adalah sebahagian daripada trend di mana virus selesema burung berpatogen tinggi semakin banyak dikesan dalam mamalia di Eropah.
“Pada masa sama, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, virus itu telah merebak ke kawasan baharu termasuk Artik, yang boleh memberi kesan kepada populasi dan ekosistem yang rapuh,” kata penyelaras selesema burung institut berkenaan, Ragnhild Tonnessen dalam satu kenyataan.
Gabenor Svalbard pula berkata, kehadiran virus itu dalam sampel otak kedua-dua haiwan tersebut selaras dengan hipotesis bahawa ia kemungkinan besar menjadi punca kematian.
Seekor walrus yang mati akibat selesema burung pernah ditemui di Svalbard pada 2023, manakala virus itu turut dikesan pada seekor beruang kutub yang mati di Alaska pada tahun sama.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), dari Januari 2025 hingga Mac 2026, sebanyak 140 juta haiwan mati atau dimusnahkan akibat selesema burung di hampir 70 negara.
Jumlah itu lebih rendah berbanding kemuncak yang dicatatkan pada 2021 hingga 2022, namun sejak itu virus berkenaan telah merebak secara meluas dalam spesies bukan burung, sekali gus meningkatkan risiko penularan kepada manusia.-AFP










