Undang-undang antarabangsa rujukan pertikaian sempadan maritim

Undang-undang antarabangsa rujukan pertikaian sempadan maritim

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menjadikan rundingan dan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 sebagai rujukan utama dalam menangani sebarang pertikaian sempadan maritim dengan negara jiran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan berasaskan rundingan serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa penting bagi memastikan isu berkaitan maritim diselesaikan secara aman tanpa menjejaskan hubungan dua hala.

Beliau berkata, tafsiran terperinci UNCLOS 1982 masih bergantung pada setiap negara, namun konvensyen itu sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan semua pertikaian.

Tambah beliau, dalam menangani isu Laut China Selatan, negara ASEAN bersetuju untuk menjadikan UNCLOS sebagai asas, selain memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan bersama China bagi mengelakkan ketegangan dan konflik.

“Inilah yang sedang dimuktamadkan oleh negara ASEAN dengan China, walaupun dengan Filipina lebih rumit kerana masih wujud isu Sabah.

“Tetapi dengan semua negara ASEAN lain, kita pilih jalan rundingan walaupun kadang-kadang rundingan itu lebih kerap. Kalau ada kebuntuan, kita tangguhkan untuk runding semula,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia membantu Ahli Parlimen mendapatkan pandangan pakar seperti daripada IMO berhubung keselamatan laluan sempit Selat Melaka dan pengurusan isu sempadan maritim.

Anwar berkata, pengalaman Malaysia melaksanakan pembangunan bersama dengan Thailand dan Vietnam membuktikan bahawa kerjasama ekonomi masih boleh diteruskan tanpa menjejaskan tuntutan kedaulatan masing-masing.

“Maknanya, walaupun kita tahu pertikaian itu sukar diselesaikan, masing-masing bawa hujah yang penting, kuat dan fakta-fakta sejarah, sempadan dan sebagainya.

“Dalam pengalaman kita dengan Vietnam, kawasan pertikaian itu, tanpa prejudis, masih kekal milik kita atau milik mereka, mereka sebutkan tetapi kita lakukan Joint Development Authority supaya kita dapat bangunkan dan dua-dua negara dapat faedah. Itu yang kita lakukan,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, kerajaan memilih pendekatan diplomasi dan rundingan bagi mengelakkan pertikaian berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan walaupun berdepan isu sempadan dengan Brunei, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina serta China

Beliau berkata, rundingan sempadan dengan Brunei menunjukkan kemajuan besar dengan hanya berbaki beberapa kawasan kecil yang turut membabitkan kerajaan Sarawak, manakala rundingan dengan Indonesia berkaitan kawasan berkaitan Sabah dan sentiasa membabitkan kepimpinan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN