KANGAR: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah sintetik jenis fentanyl seberat 39.9 liter, 1 Julai lalu.
Tertuduh, Him Mat, 65, mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, Him didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah berkenaan pada 1 Julai lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat di Lot 896-D, Jalan Panggas, Kampung Guar Musang, Bukit Keteri, Padang Besar pada pukul 5.50 petang.
Berikutan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan sebatan tidak kurang dari 12 sebatan.
Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Check Pi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Alia memohon agar mahkamah dapat menetapkan satu tarikh baharu bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, dengan tiada jaminan diberikan ke atas tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober depan sementara menunggu laporan kimia dan tiada sebarang jaminan dibenarkan.
Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan kejayaan polis negeri menumpaskan sindiket pengedaran dadah sintetik menggunakan katrij cecair dipercayai mengandungi dadah furanylfentanyl bernilai RM34.31 juta dalam tiga serbuan berbeza, awal bulan ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, dadah sintetik tersebut dipercayai dimasukkan ke dalam katrij vape bagi meningkatkan kesan khayal sebelum diseludup ke negara jiran.-UTUSAN










