DAP tarik sokongan kepada kepimpinan Rauf

DAP tarik sokongan kepada kepimpinan Rauf

KHOO Poay Tiong mengadakan sidang akhbar mengumumkan empat ADUN dari DAP dan seorang dari Amanah keluar dari kerajaan negeri berkuatkuasa serta merta selepas selepas menghadiri Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: DAP Melaka hari ini mengumumkan keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut mengumumkan semua wakilnya dalam pentadbiran kerajaan negeri melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta, membabitkan seorang Exco Kerajaan Negeri, dua Timbalan Exco, seorang Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) serta semua lantikan politik dan wakil parti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di negeri ini mengundi menolak rang undang-undang berkenaan yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau berkata, selain empat ADUN DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari turut mengundi menolak usul tersebut.

Bagaimanapun katanya, kesemua mereka masih kekal sebagai ADUN di kawasan masing-masing sementara menunggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka Oktober ini.

“Atas prinsip demokrasi dan pendirian yang konsisten, kita mengambil keputusan untuk keluar daripada Kerajaan Negeri Melaka berkuatkuasa serta-merta.

“Alex Seah Soon Chin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka tidak sepatutnya menolak usul kerajaan, namun atas prinsip demokrasi dan pendirian parti yang menolak pelantikan ADUN, beliau perlu berpegang kepada prinsip itu dan tidak lagi berada dalam kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Khoo berkata, DAP berpandangan pelantikan ADUN bukan eksekutif bercanggah dengan prinsip demokrasi kerana wakil rakyat sepatutnya dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihan raya.

Katanya, jika kerajaan negeri memerlukan kepakaran golongan profesional, mereka boleh dilantik sebagai penasihat tanpa perlu diberikan status ADUN yang mempunyai hak berbahas dan mengundi dalam persidangan DUN.

“Kita tidak menafikan kerajaan memerlukan khidmat golongan profesional, tetapi bukan melalui pelantikan sebagai ADUN kerana mereka mempunyai kuasa mengundi dalam Dewan Undangan Negeri.

“Wakil rakyat sepatutnya dipilih oleh rakyat, bukannya melalui pelantikan,” katanya.

Beliau berkata, DAP juga berpandangan adalah tidak wajar untuk parti itu terus berada dalam kerajaan selepas secara terbuka menolak usul yang dibawa kerajaan negeri.

“Sebagai parti yang bertanggungjawab, kita tidak boleh menolak usul kerajaan tetapi pada masa sama kekal berada dalam kerajaan dan menggunakan segala kemudahan kerajaan. Itu tidak adil.

“Lebih-lebih lagi usul ini membabitkan pindaan Perlembagaan Negeri yang merupakan perkara penting. Apabila kita mengambil pendirian untuk menolaknya, maka kita juga perlu konsisten dengan pendirian itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN