Anwar minta DAP Melaka tangguh keputusan keluar kerajaan negeri

Anwar minta DAP Melaka tangguh keputusan keluar kerajaan negeri

ANWAR Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Container Port di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta DAP Melaka untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk keluar daripada kerajaan negeri Melaka.

Perdana Menteri berkata, perkara itu wajar untuk dirundingkan dan beliau telah membincangkannya bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, meskipun terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui antara pihak terbabit, kerjasama demi kepentingan rakyat serta pembangunan ekonomi negeri perlu diteruskan.

“Saya tadi berbincang dengan Anthony Loke dan juga Ketua Menteri. Kalau boleh runding dulu supaya tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan soal negeri.

“Saya ingin pilihan raya dulu sebaiknya. Walaupun ada dua tiga perkara tidak bersetuju, tidak mengapa.

“Sekarang ini banyak benda kita tidak setuju sama-sama, tetapi dari segi dasar untuk pertumbuhan ekonomi dan rakyat kita teruskan. Jadi saya harap mereka pertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Midport Smart AI Container Port di Mukim Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan DAP Melaka mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Ia selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan eksekutif.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong turut mengumumkan semua wakil parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN