Meteor meletup kuat di ruang udara negeri AS - Utusan Malaysia

Meteor meletup kuat di ruang udara negeri AS

SEBUAH meteor yang sedang meluru ke arah bumi meletup di ruang udara timur laut AS pada Sabtu. - The Weather Network
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sebuah meteor yang sedang menuju ke bumi meletup di ruang udara timur laut Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu, menurut agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), mencetuskan dentuman kuat yang bergema di seluruh kawasan itu dengan kekuatan letupan bersamaan 300 tan TNT.

Timbalan Ketua Berita NASA, Jennifer Dooren berkata kepada AFP dalam satu kenyataan, bola api itu berpecah di ruang udara timur laut negeri Massachusetts dan tenggara New Hampshire pada jam 2.06 petang waktu tempatan.

“Bola api ini tidak berkaitan dengan mana-mana hujan meteor yang sedang aktif ketika ini, sebaliknya ia adalah objek semula jadi dan bukannya serpihan angkasa lepas atau satelit yang memasuki semula atmosfera bumi,” katanya.

“Tenaga yang dilepaskan ketika ia berpecah dianggarkan bersamaan kira-kira 300 tan TNT dan ia yang menyebabkan dentuman kuat tersebut,” tambahnya.

Menurut Dooren, meteor itu bergerak pada kelajuan lebih 120,000 kilometer sejam (km/j)  pada ketinggian 64 kilometer km/j sebelum berpecah.

Penduduk di kawasan terbabit terkejut dengan bunyi dentuman yang tidak dijangka itu dengan pengguna media sosial melaporkan gegaran yang begitu kuat sehingga menyebabkan rumah mereka bergegar.

Pada tahun 2013, satu bola api meteor melintasi ruang udara Chelyabinsk, Russia. Batu angkasa bersaiz sebuah rumah itu meletup pada ketinggian 23 kilometer dari permukaan bumi, menghasilkan letupan bersamaan 440,000 tan TNT, menurut NASA.

Letupan itu memecahkan tingkap di kawasan seluas lebih 518 kilometer persegi dan mencederakan lebih 1,600 orang, kebanyakannya akibat terkena serpihan kaca yang pecah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN