WASHINGTON: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) mendedahkan nota bunuh diri yang dipercayai ditulis oleh pesalah seks yang disabitkan, mendiang Jeffrey Epstein, beberapa minggu sebelum kematiannya di penjara New York.
Rakan sel Epstein berkata, dia menemui surat itu di dalam sebuah buku selepas cubaan bunuh diri yang gagal oleh pembiaya itu, beberapa minggu sebelum kematiannya pada Ogos 2019.
“Mereka menyiasat saya selama berbulan-bulan. Tidak jumpa APA-APA!!!
“Ia satu kelegaan untuk dapat memilih masa sendiri untuk mengucapkan selamat tinggal,”menurut kandungan surat yang ditulis pada kertas bergaris itu.
Teks itu berakhir dengan ayat ‘Apa lagi yang kamu mahu saya buat, menangis teresak-esak!! Tidak menyeronokkan — TIDAK BERBALOI!!’
Surat itu disimpan selama bertahun-tahun sebagai sebahagian daripada prosiding jenayah melibatkan rakan sel tersebut, namun didedahkan oleh Hakim, Kenneth Karas dari Mahkamah Daerah Southern New York selepas permohonan dibuat oleh The New York Times.
Walaupun dokumen itu belum disahkan kesahihannya, pendedahannya berlaku ketika persoalan terus timbul mengenai kematian Epstein ketika menunggu pertuduhan pemerdagangan seks.
Kematiannya diklasifikasikan sebagai bunuh diri, tetapi beberapa kegagalan keselamatan di penjara serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang hilang menimbulkan keraguan berterusan terhadap versi rasmi kejadian.
Epstein ditemui cedera di dalam selnya pada akhir Julai 2019, dalam apa yang disifatkan pegawai sebagai cubaan bunuh diri yang gagal.
Nota itu dipercayai ditulis sebelum insiden tersebut dan disembunyikan di dalam sebuah novel grafik.
Kisah Epstein terus menggegarkan politik AS dan Britain apabila dokumen berkaitan siasatan besar terhadap kehidupannya didedahkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.-AFP










