Rosmaini didakwa cederakan isteri

Rosmaini didakwa cederakan isteri

ROSMAINI Abd Raof dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah hari ini bagi berdepan pertuduha memukul isterinya sehingga cedera parah pada bulan Mac dan April lalu. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Bekas suami kepada mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan memukul isterinya sehingga cedera parah pada Mac dan bulan lalu.

Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, dengan menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, di sini kira-kira pukul 5 petang, 29 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh melakukan kesalahan tersebut ke atas mangsa sama menggunakan penyangkut baju dan besi penyangkut langsir di rumah sama kira-kira pukul 9 pagi, 23 April lepas.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun itu kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau objek.

Kesalahan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. Jika kesalahan itu dilakukan terhadap pasangan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dua kali ganda bagi tempoh maksimum di bawah Seksyen 326.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzana Abdul Rahim.

Khairul Anuar membantah sebarang jaminan diberikan kerana tertuduh kini berstatus banduan dan sedang menjalani hukuman penjara, selain dalam perbicaraan kes lain bagi kesalahan hampir serupa di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Hakim Najwa tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan.

Dalam prosiding sama, Najwa turut bertanya tentang tangan kiri tertuduh yang dalam keadaan berbalut dan sama ada telah mendapatkan rawatan.

Tertuduh memaklumkan sudah menerima rawatan dan mendakwa tangannya mengalami kecederaan patah ketika tangkapan dilakukan sebelum ini.

Rosmaini ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 14 tahun di Penjara Kajang bagi kes mencederakan Jahidah yang ketika kejadian sedang hamil sehingga koma pada 2021.

Hukuman tersebut dijatuhi Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin lalu. Mahkamah turut memerintahkan Rosmaini membayar pampasan RM25,000 kepada Jahidah melalui ahli keluarga serta penjara enam bulan sekiranya gagal berbuat demikian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN