Sel kanser merebak ke paru-paru, Sahronizam Noor bakal jalani pembedahan kedua - Safura - Utusan Malaysia

Sel kanser merebak ke paru-paru, Sahronizam Noor bakal jalani pembedahan kedua – Safura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Safura Yaacob, 53, memaklumkan suaminya yang juga aktor Sahronizam Noor, 53, bakal menjalani pembedahan kali kedua pada 12 Jun hadapan.

Safura berkata, keputusan untuk menjalankan pembedahan kedua itu diputuskan oleh pakar selepas didapati terdapat sel kanser yang sudah merebak ke paru-paru ketika Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) dibuat susulan Sahronizam selesai rawatan radioterapi.

“Dia akan melakukan pembedahan kedua sebab selepas dia selesai menjalani rawatan radioterapi sebanyak 33 kali, doktor jalani CT Scan dan dapati ada sel kanser yang sudah merebak di paru-parunya.

“Doktor katakan ada sedikit ketumbuhan, tapi tidaklah besar. Jadi pembedahan ‘minor’ ini akan berlangsung pada 12 Jun nanti, untuk tebuk dan keluarkan ketulan yang ada di paru-parunya.

“Kemudian kita akan tengok balik keputusannya macam mana, kalau sel kanser masih aktif, mungkin kena lalui rawatan lagi sekali sebab kanser ini bukan mudah untuk dimatikan akarnya. Selebihnya, kita bertawakal pada Allah,” katanya.

Safura berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pratonton Drama Panggung Khas Hari Ibu berjudul Emak, di Wisma TV, Angkasapuri Kota Media, pada Isnin lalu.

Ditanya mengenai keadaan suaminya yang terkini, Safura menyifatkan Sahronizam seorang yang sangat positif melawan kesakitan, bahkan masih kuat semangat untuk bekerja.

“Alhamdulillah, dia baik-baik sahaja. Mungkin disebabkan dia positif, tidaklah kesihatannya merudum dan dia juga masih bekerja walaupun selepas pembedahan tempoh hari, dia masih lagi pergi ‘shooting’.

“Saya ada juga nasihatkan dia untuk lebih utamakan kesihatan biarpun perlu mencari sumber pendapatan. Tetapi dia kata kesihatannya akan lebih merudum sekiranya duduk di rumah saja. Jadi saya biar dia bekerja dan jumpa kawan-kawan.

“Pesakit kanser ini tidak boleh tertekan, dia duduk rumah nanti tiada apa nak buat dan pendapatan pun tidak masuk, lagi dia sakit jiwa. Jadi selagi dia rasa dia boleh kendalikan dirinya, saya okey saja,” jelasnya.

Tambah Safura, dia juga tidak menyarankan suaminya mengambil watak dan karakter yang perlu melakukan adegan berat dan lasak kerana bimbang akan kondisinya yang masih dalam tempoh pemulihan.

“Saya nasihatkan juga supaya ambil watak yang tidak perlu melakukan babak yang berat atau lasak. Kita ini sudah berumur, kesihatan kena ambil berat.

“Saya tidak benarkan dia lakukan babak pergaduhan. Kalau watak bapa-bapa tak mengapa. Saya minta dia hadkan aktiviti lakonannya, jangan terlampau sangat,” kongsinya.

Safura bagaimanapun berharap agar suaminya diberikan kesembuhan dengan segera, selain mengakui adakalanya Sahronizam berlawan dengan mental serta emosinya untuk menahan kesakitan.

“Ada fasa dia yang dia tidak okey. Jika ditanya sudah makan ubat atau belum, dia tiak mahu terlalu bergantung dengannya. Untuk kanser ini tiada ubat, hanya ada ubat tahan sakit saja.

“Sebab kadang-kadang dia rasa sakit di tempat pembedahan dijalankan. Jadi dia hanya ambil ubat ketika dia terlalu sakit saja. Saya harap kanser itu berhenti merebak sebab dia sudah menjalani kemoterapi.

“Saya risau juga takut sel itu merebak ke tempat lain selain paru-paru sebab saya tahu melawan sakit kanser ini tak mudah,” ujarnya.

Tahun lalu, Sahronizam disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap tiga selepas mengalami sakit belakang.

Selepas membuat pemeriksaan di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, dia menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian kanan belakang badannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 Oktober lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN