Lawatan Putin tayang hubungan China-Russia kekal utuh

Lawatan Putin ‘tayang’ hubungan China-Russia kekal utuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Presiden Russia, Vladimir Putin tiba di Beijing pada Selasa untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari China dan ‘sahabat lamanya’, Xi Jinping dalam usaha menunjukkan hubungan kedua-dua negara kekal utuh beberapa hari selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Pengesahan lawatan Putin dibuat hanya beberapa jam selepas Trump menamatkan lawatannya pada Jumaat lalu, iaitu lawatan pertama Presiden AS ke China dalam tempoh hampir sedekad yang bertujuan menstabilkan hubungan tegang antara kedua-dua kuasa besar itu.

Putin dan Jinping dijadual membincangkan langkah untuk terus mengukuhkan perkongsian strategik Russia-China serta bertukar pandangan mengenai isu utama antarabangsa dan serantau, menurut kenyataan Kremlin.

Hubungan kedua-dua negara semakin erat sejak Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022, dengan Putin melawat Beijing setiap tahun sejak itu.

Moscow kini semakin terasing di pentas diplomatik global dan sangat bergantung kepada Beijing dari segi ekonomi, dengan China menjadi pembeli utama minyak Russia yang dikenakan sekatan.

Bagi mewujudkan suasana mesra menjelang lawatan itu, kedua-dua pemimpin bertukar surat penghargaan dan ucapan tahniah pada Ahad sempena ulang tahun ke-30 perkongsian strategik negara mereka.

Jinping berkata, kerjasama antara Russia dan China terus mendalam dan kukuh, menurut media rasmi China.

Dalam mesej video kepada rakyat China yang disiarkan Selasa, Putin pula berkata, hubungan kedua-dua negara telah mencapai tahap yang benar-benar luar biasa dan perdagangan antara kedua-dua negara kini terus berkembang.

“Hubungan strategik rapat antara Russia dan China memainkan peranan besar dalam menstabilkan dunia. Tanpa berpakat menentang sesiapa, kami mencari keamanan dan kemakmuran sejagat,” kata Putin tanpa menyebut mana-mana negara ketiga.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka menandatangani deklarasi bersama selepas rundingan.

Ketika Putin melawat Beijing pada September 2025, Jinping menyambutnya sebagai ‘sahabat lama’, istilah yang tidak digunakan pemimpin China itu terhadap Trump minggu lalu.

Putin, yang turut memanggil Jinping sebagai ‘sahabat karib’, dilihat cuba menunjukkan kepada dunia bahawa hubungan mereka tidak terjejas oleh lawatan Trump.

Walaupun lawatan Putin dijangka tidak menerima sambutan semeriah Trump, Patricia Kim dari Brookings Institution di Washington berkata, hubungan Jinping-Putin tidak memerlukan jaminan berbentuk simbolik seperti itu.

Menurutnya, kedua-dua pihak melihat hubungan mereka lebih kukuh dan stabil berbanding hubungan China-AS.

Walaupun Beijing kerap menggesa rundingan bagi menamatkan perang Ukraine yang kini memasuki tahun kelima, China tidak pernah mengutuk Russia kerana menghantar tenteranya ke negara itu dan terus menggambarkan dirinya sebagai pihak berkecuali.

Trump dan Jinping turut membincangkan isu Ukraine minggu lalu, namun Presiden AS itu pulang tanpa sebarang kemajuan besar.

“Jinping hampir pasti akan memberi taklimat kepada Putin mengenai sidangnya dengan Trump,” kata Kim.

Namun, katanya, ketiadaan hasil jelas daripada pertemuan dengan Trump mungkin meyakinkan Moscow bahawa Jinping tidak mencapai sebarang persefahaman dengan Presiden AS itu yang boleh menjejaskan kepentingan Russia secara besar-besaran.

Putin juga dijangka berharap China memperkukuh komitmennya terhadap Moscow selepas Trump memberitahu Fox News ketika lawatannya bahawa Beijing bersetuju membeli minyak AS bagi memenuhi ‘selera tenaga yang tidak pernah puas’.

“Dengan Russia bergantung kepada jualan tenaga kepada China untuk menyokong usaha perangnya, Putin tidak mahu kehilangan sokongan itu.

“Putin juga mungkin mahu mendengar daripada Jinping mengenai langkah terbaharu China di Asia Barat selepas Trump secara jelas memberi isyarat bahawa beliau mahu Beijing memainkan peranan utama,” kata Pakar Persatuan Asia, Lyle Morris kepada AFP.

Bagaimanapun, dalam perang AS-Israel terhadap Iran, China dan Russia mungkin mempunyai keutamaan berbeza.

Pensyarah Universiti Teknologi Nanyang Singapura, James Char berkata, China bergantung kepada kebebasan laluan perairan utama dunia untuk mengekalkan aktiviti ekonominya dan mahu ketegangan di Selat Hormuz ditamatkan secepat mungkin.

Sebaliknya, Moscow mendapat manfaat ekonomi daripada konflik di Iran susulan pelonggaran sekatan terhadap bekalan tenaga Russia, sekali gus mungkin mempunyai pandangan berbeza.

Selepas bertemu Jinping pada April lalu, Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov berkata, Moscow mampu mengimbangi kekurangan tenaga China ketika perang menjejaskan bekalan global.

“Hubungan tenaga yang diperluaskan mungkin menjadi fokus utama pertemuan itu kerana Beijing mahukan lebih banyak tenaga dari Russia.

“Dari sudut Moscow pula, penghantaran lebih banyak minyak ke timur mungkin lebih menarik ketika Ukraine terus menyasarkan infrastruktur tenaga Russia tanpa henti,” ,” kata pakar dari Atlantic Council, Joseph Webster.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN