SEOUL: Kedutaan Iran menafikan angkatan tenteranya terlibat dalam letupan yang melanda sebuah kapal Korea Selatan di Selat Hormuz minggu ini.
Letupan dan kebakaran itu berlaku pada kapal kargo berbendera Panama, HMM Namu, yang membawa 24 kru pada Isnin.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kemudian mendakwa Iran telah melepaskan beberapa tembakan ke arah kapal tersebut dan menggesa Korea Selatan menyertai operasi AS bagi memulihkan aliran perkapalan di laluan air yang hampir ditutup itu.
Kedutaan Iran dalam kenyataan pada Khamis berkata, ia menolak dengan tegas dan menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan mengenai penglibatan angkatan tentera Republik Islam Iran dalam insiden kerosakan kapal Korea Selatan di Selat Hormuz.
“Sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari, Teheran berulang kali menegaskan, Selat Hormuz merupakan sebahagian penting daripada geografi pertahanannya. Oleh itu, laluan selamat melalui Selat Hormuz memerlukan pematuhan penuh terhadap peraturan yang berkaitan.
“Dalam keadaan sedemikian, sebarang pengabaian terhadap keperluan dan realiti operasi yang telah diumumkan boleh membawa kepada insiden yang tidak disengajakan.
“Tanggungjawab terhadap akibat tersebut terletak pada pihak yang meneruskan transit atau aktiviti di kawasan itu tanpa mengambil kira perkara tersebut dengan sewajarnya,” katanya.
Korea Selatan berkata, pihaknya akan menilai semula pendiriannya mengenai penyertaan dalam operasi AS untuk mengiringi kapal di selat tersebut.
Namun, Penasihat Keselamatan Negara, Wi Sung Lac berkata pada Rabu, penggantungan program itu yang dinamakan Project Freedom menjadikan semakan tersebut tidak lagi perlu.-AFP










