Pengasas CNN meninggal dunia pada usia 87 tahun

Pengasas CNN meninggal dunia pada usia 87 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pengasas rangkaian berita kabel 24 jam CNN, Ted Turner yang merevolusikan dunia penyiaran berita televisyen, meninggal dunia pada usia 87 tahun di sisi keluarganya, menurut kenyataan Turner Enterprises.

Tokoh media dan dermawan kelahiran Ohio itu digelar ‘Suara dari Selatan’ kerana sifat lantangnya, membina empayar media yang merangkumi stesen televisyen kabel nasional pertama serta saluran popular untuk filem dan kartun, selain memiliki pasukan sukan profesional seperti Atlanta Braves.

Turner juga dikenali di peringkat antarabangsa sebagai pelayar, dermawan yang menubuhkan Yayasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), aktivis yang memperjuangkan penghapusan senjata nuklear global, serta pencinta alam sekitar yang menjadi antara pemilik tanah terbesar di Amerika Syarikat (AS).

Beliau memainkan peranan penting dalam memperkenalkan semula bison ke kawasan barat Amerika dan turut mencipta rancangan kartun Captain Planet and the Planeteers untuk mendidik kanak-kanak mengenai alam sekitar.

Namun, visi beraninya untuk menyampaikan berita dari seluruh dunia secara langsung sepanjang masa adalah yang benar-benar melonjakkan namanya, selepas idea itu akhirnya mendapat sambutan besar.

Pada 1991, majalah Time menamakan Turner sebagai Man of the Year kerana mempengaruhi dinamik peristiwa dan menjadikan penonton di 150 negara sebagai saksi segera sejarah.

Turner kemudian menjual rangkaian medianya kepada Time Warner dan meninggalkan dunia perniagaan media, namun beliau terus menyatakan kebanggaannya terhadap CNN, yang disifatkannya sebagai pencapaian terbesar dalam hidupnya.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CNN Worldwide, Mark Thompson berkata, Turner ialah seorang pemimpin yang sangat komited, berani dan sentiasa sanggup mempertaruhkan firasat serta mempercayai pertimbangannya sendiri.

“Beliau adalah dan akan sentiasa menjadi semangat utama CNN. Ted ialah gergasi yang menjadi tempat kami berpijak, dan hari ini kami semua akan mengambil masa untuk mengenang beliau serta kesannya terhadap hidup kami dan dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN