KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan garis panduan baharu bagi memperkukuhkan pelaksanaan waktu bekerja pegawai perubatan siswazah (PPS) dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penambahbaikan garis panduan itu dibuat bagi memastikan ia selari dengan realiti semasa di peringkat lapangan.
“Saya perhatikan perkara ini dibangkitkan dan saya perlu sebutkan bahawa satu pekeliling serta garis panduan baharu akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan untuk memperkukuhkan perkara berkaitan waktu bekerja PPS.
“Pertama, kita perlu kembali kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh KKM bahawa pegawai perubatan siswazah bukan extra pairs of hands.
“Kedua, berkaitan sistem waktu bekerja fleksi yang telah dikeluarkan, garis panduan baharu akan diperkenalkan bagi memperkukuhkan pelaksanaannya dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat supaya mengikut garis panduan asal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2026, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan bahawa PPS di negara ini bekerja sehingga 10 hingga 15 jam lebih masa tanpa bayaran seperti yang dibangkitkan Malaysian Medics International (MMI).
Menurut MMI, PPS di Malaysia didakwa berdepan beban kerja tinggi sehingga 85 jam seminggu, selain wujud budaya kerja tidak rasmi yang menyebabkan kerja lebih masa tidak direkodkan.
Mengulas sekiranya perkara tersebut masih berlarutan, Dzulkefly berkata, ia mungkin berpunca daripada isu pelaksanaan di peringkat lapangan.
“Kalau ada sebarang masalah, kita akan kembali kepada peraturan asal dan kita akan perbaiki pelaksanaan di peringkat lapangan,” katanya. – UTUSAN










