SEOUL: Sebuah kapal tangki minyak yang berjaya melepasi Selat Hormuz tiba di Korea Selatan pada Jumaat, menjadi kapal pertama seumpamanya yang sampai ke negara Asia itu melalui laluan berkenaan sejak Iran mengisytiharkan laluan laut strategik tersebut ditutup.
Korea Selatan bergantung kuat kepada import bahan api dari Asia Barat, yang kebanyakannya melalui Selat Hormuz sebelum serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari menyebabkan Teheran secara efektif menutup laluan itu.
Kehadiran kapal berbendera Malta, Odessa yang membawa satu juta tong minyak mentah, dijangka meredakan kebimbangan Seoul terhadap keselamatan tenaga ketika perang di Asia Barat terus berlarutan.
Kapal besar itu dilihat sekitar pukul 10:00 pagi (waktu tempatan) berhampiran sebuah kemudahan tambatan di luar pesisir Seosan, menurut wartawan AFP.
Ketibaannya dijangka membantu menstabilkan bekalan, dengan membawa minyak mentah bersamaan hampir separuh daripada penggunaan minyak harian Korea Selatan, menurut sumber industri.
Kargo kapal itu akan diproses di kilang penapisan sebelum dibekalkan ke pasaran sebagai produk petroleum seperti petrol dan diesel, kata sumber berkenaan.
Odessa melalui Selat Hormuz pada 17 April, menurut satu sumber kepada AFP, ketika berlaku kelonggaran sementara sekatan di kawasan itu.
Laluan kapal melalui perairan tersebut merosot dengan ketara sejak perang bermula, dengan AS dan Iran saling berbalas serangan di kawasan itu pada Khamis, sekali gus mengancam gencatan senjata yang rapuh.
Konflik berbulan-bulan itu turut mendorong Korea Selatan, pengeluar petrokimia dan penapis minyak utama, melaksanakan kawalan harga bahan api buat kali pertama dalam hampir 30 tahun.
Negara itu juga berusaha mempelbagaikan sumber bekalan minyak, memperoleh lebih 270 juta tong minyak mentah mencukupi untuk lebih tiga bulan keperluan minyaknya melalui laluan yang tidak terjejas sekatan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa PBB, Arsenio Dominguez memaklumkan, sekitar 1,500 kapal dan 20,000 kru antarabangsa dilaporkan terperangkap di rantau Teluk akibat konflik tersebut.
Presiden AS, Donald Trump dilaporkan melancarkan operasi tentera laut singkat minggu ini untuk membuka semula laluan tersebut kepada kapal komersial, sebelum menghentikannya beberapa jam kemudian, dengan alasan terdapat kemajuan dalam rundingan dengan Iran.
Beliau juga menuduh Iran menyerang sebuah kapal kargo milik operasi Korea Selatan di selat itu minggu ini, dakwaan yang dinafikan oleh kedutaan Iran di Seoul.
Kapal HMM Namu yang mengalami kerosakan akibat kebakaran tiba di pelabuhan Dubai pada Jumaat, menurut operatornya. Kapal itu akan disiasat dalam masa terdekat.-AFP










