BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) dijangka meluluskan sekatan baharu terhadap peneroka Israel berhubung keganasan terhadap rakyat Palestin, menurut ketua dasar luar blok itu ketika perubahan kerajaan di Hungary menamatkan kebuntuan yang berlarutan selama beberapa bulan.
“Saya menjangkakan persetujuan politik mengenai sekatan terhadap peneroka ganas dan saya berharap kita akan mencapainya,” kata Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas sebelum mesyuarat menteri-menteri luar blok itu.
Langkah tersebut yang bertujuan menangani peningkatan keganasan dan perluasan penempatan di Tebing Barat yang diduduki Israel sebelum ini terhenti akibat veto bekas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.
Namun, pengunduran pemimpin nasionalis yang juga sekutu Israel itu, serta kemenangan pesaingnya, Peter Magyar, dilihat membuka jalan kepada penarikan veto tersebut.
Pegawai EU berkata, tujuh individu atau organisasi peneroka dijangka disenaraihitamkan.
Pada masa sama, blok itu juga dijangka mengenakan sekatan terhadap wakil kumpulan Palestin Hamas.
Tebing Barat yang diduduki telah menyaksikan keganasan yang berlaku hampir setiap hari sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023, melibatkan tentera Israel dan peneroka.
Pihak Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, terdapat peningkatan serangan maut oleh peneroka Israel di Tebing Barat sejak perang Iran bermula pada 28 Februari.
Walaupun EU bergerak ke arah sekatan terhadap peneroka Israel, masih belum wujud konsensus dalam kalangan negara anggota untuk mengambil langkah lebih tegas terhadap Israel seperti mengehadkan hubungan perdagangan.-AFP










