PETALING JAYA: Ulang tahun ke-80 tahun UMNO bukan sekadar angka, sebaliknya perlu melangkah ke hadapan sebagai Rumah Bangsa yang membuka ruang lebih luas kepada seluruh masyarakat Melayu berhimpun bersama.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usia 80 tahun tidak seharusnya menjadikan UMNO terus terikat dengan nostalgia atau sekadar mengenang kejayaan lalu tanpa perubahan baharu.
Katanya, penyatuan itu penting sebagai wadah yang membuka ruang seluas-luasnya kepada seluruh orang Melayu untuk kembali berhimpun, menyumbang idea, tenaga dan kebijaksanaan demi masa depan bangsa.
“Ulang tahun ke-80 UMNO melambangkan perjalanan panjang perjuangan menyatukan orang Melayu serta mempertahankan tanah air sejak berdekad lalu.
“Tidak dinafikan perjalanan panjang parti itu turut dihiasi pelbagai kejayaan, cabaran serta detik sukar yang mengajar pentingnya kesatuan dalam kalangan orang Melayu,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook, hari ini.
Mohamed Khaled turut mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-80 UMNO kepada seluruh ahli serta pendukung parti di seluruh negara.
“Semoga segala ikhtiar atas nama agama, bangsa dan negara terus dirahmati, perjuangan ini kekal utuh dan menjadi wadah bangsa sampai bila-bila,” katanya. – UTUSAN










