RAWANG: Selepas kira-kira dua tahun ‘menyepi’, KTM membuat kemunculan semula dengan memperkenalkan empat model baharu motosikal siri 390 iaitu Adventure R, Adventure X, Enduro R dan SMC R.
Lebih menarik, harga yang ditawarkan disifatkan ‘tidak masuk akal’ bagi model import sepenuhnya (CBU) iaitu RM33,300 (Adventure R), RM29,300 (Adventure X), RM27,300 (Enduro R) dan RM27,300 (SMC R).
Pengurus Pemasaran Nasional KTM Malaysia, Goi Seong Keng berkata, pihaknya tidak melancarkan sebarang model baharu pada tahun lepas berikutan krisis kewangan dihadapi mereka, namun masalah itu sudah pun berjaya diselesaikan.
“Kali terakhir kami buat pelancaran model baharu adalah pada 2024 sempena ulang tahun ke-30 siri Duke.
“Tahun ini kita bergerak semula ke hadapan dengan pelancaran empat model baharu selain siri 390 Duke yang dijangka diperkenalkan pada penghujung tahun ini.
“Harga keempat-empat model ini sangat menarik, seolah-olah tidak masuk akal. Salah satu sebabnya kerana pemegang saham utama KTM sekarang ialah Bajaj Auto dari India,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran di sini, semalam.
Kesemua model berkenaan didatangkan dengan empat tahun jaminan dan peranti quickshifter (pertukaran pantas gear).
Menurut Seong Keng, model-model terbabit disasarkan kepada golongan penunggang yang masih tercari-cari dan sukar membuat keputusan dalam memilih motosikal dwikegunaan.
“KTM sudah bersedia untuk memenuhi keperluan pengguna sebegini iaitu yang mahukan jentera untuk pengembaraan (touring), pada masa sama berupaya berfungsi sebagai motosikal lasak (off-road).
“Ia boleh dijadikan kegunaan harian untuk ulang-alik kerja pada hari-hari biasa manakala hujung minggu menikmati laluan mencabar di hutan atau jalan tidak berturap,” katanya. – UTUSAN










