Dua jet pejuang tentera laut AS bertembung - Utusan Malaysia

Dua jet pejuang tentera laut AS bertembung

DUA jet pejuang bertembung di ruang udara Idaho. - X
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dua jet pejuang dilaporkan bertembung di ruang udara ketika sesi pertunjukan udara di wilayah barat laut Idaho, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Namun, kesemua empat kru kedua-dua jet tersebut dilaporkan selamat selepas berjaya keluar menggunakan payung terjun.

Satu kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi pertunjukan udara Gunfighter Skies mengesahkan bahawa satu insiden pesawat telah berlaku di Pangkalan Tentera Udara Mountain Home kira-kira 3.2 kilometer ke barat laut pangkalan berkenaan.

Saluran berita tempatan CBS dan KOMO melaporkan kesemua empat kru berjaya keluar dengan selamat daripada dua jet pejuang model EA-18 milik Tentera Laut AS tersebut.

Video yang tular di media sosial memaparkan detik cemas apabila kedua-dua jet berkenaan bertembung dan berpusing di udara sebelum terhempas.

Ia kemudian mencetuskan satu letupan dan kepulan asap hitam tebal manakala empat payung terjun kelihatan.

Laporan NBC News menyatakan bahawa susulan nahas tersebut, pertunjukan udara itu telah dibatalkan serta-merta dan pangkalan terbabit diletakkan di bawah sekatan pergerakan bagi membolehkan pasukan penyelamat mengawal keadaan sebelum memulakan siasatan.

Jurucakap Angkatan Udara Tentera Laut Armada Pasifik AS, Komander Amelia Umayam mengesahkan bahawa jet jenis EA-18G Growler tersebut berpangkalan di Whidbey Island, Washington.

Menurut laporan Idaho Statesman, acara pertunjukan udara yang menampilkan aksi lagak ngeri dan penerbangan lintas hormat di hadapan penonton itu merupakan penganjuran pertama seumpamanya sejak kali terakhir diadakan pada 2018, di mana seorang juruterbang glider maut dalam satu kemalangan.

Pasukan penyelamat kini berada di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pertembungan tersebut. 

Pihak pangkalan tentera udara bagaimanapun belum memberikan sebarang ulasan lanjut buat masa ini. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN