Anak Suu Kyi gesa kerajaan Myanmar kemuka bukti ibunya masih hidup

Anak Suu Kyi gesa kerajaan Myanmar kemuka bukti ibunya masih hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Anak kepada pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi menuntut bantuan Perancis untuk mendapatkan bukti bebas yang mengesahkan ibunya masih hidup selepas dilaporkan dipindahkan ke tahanan rumah.

Kim Aris berkata, sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang khabar daripada ibunya yang kekal popular di Myanmar itu.

Minggu lalu, ketua junta yang kini menyandang jawatan Presiden, Min Aung Hlaing, telah mengarahkan pemindahan pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 80 tahun itu minggu lalu selepas lima tahun ditahan susulan rampasan kuasa.

Dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Kim Aris memohon agar Perancis menyertai gesaannya bagi mendapatkan bukti ibunya masih hidup yang disahkan secara bebas.

Surat itu turut meminta jaminan hak asasi ibunya termasuk rawatan perubatan yang sewajarnya dan akses kepada peguam serta keluarga.

Peguam Suu Kyi, Francois Zimeray memaklumkan  Kim Aris telah menyerahkan surat tersebut kepada Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot dalam satu pertemuan semalam.

Zimeray menegaskan pihak mereka tidak mempunyai sebarang bukti hidup atau foto selama bertahun-tahun, malah tiada sebarang petunjuk sahih mengenai lokasi sebenar Suu Kyi.

Walaupun pejabat Min Aung Hlaing telah berkongsi sekeping foto tanpa tarikh pada 30 April yang memaparkan Suu Kyi duduk diapit oleh dua lelaki berpakaian seragam, Zimeray meragui ketulenan imej tersebut dan bimbang ia mungkin dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI).

Kebimbangan mengenai tahap kesihatan beliau turut disuarakan oleh seorang lagi peguamnya, Catalina de la Sota yang mempersoalkan mengapa Suu Kyi terus disembunyikan dalam kerahsiaan penuh yang melanggar semua konvensyen antarabangsa.

Sejak Aung Hlaing menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi pada 2021 atas pelbagai pertuduhan yang dianggap sebagai rekaan oleh kumpulan hak asasi manusia, perang saudara yang tercetus di negara itu telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN