Bus Cap sasar raih RM24.69 juta melalui IPO di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Bus Cap sasar raih RM24.69 juta melalui IPO di Pasaran ACE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar bas, Bus Cap Berhad sasar meraih sebanyak RM24.69 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

IPO tersebut ditetapkan pada harga 23 sen sesaham yang dijangka memberi permodalan pemasaran sebanyak RM88.18 juta selepas penyenaraian.

Pengarah Eksekutifnya, Bernard Ng Chong Yan berkata, pelancaran prospektus tersebut menandakan peralihan syarikat kepada pasaran awam daripada kedudukan kekuatan operasi yang kukuh serta asas pendapatan yang teguh dan laluan yang jelas untuk peningkatan kapasiti.

Menurutnya, dana yang dikumpul akan diperuntukkan kepada proses membiayai kemudahan pengeluaran baharu dan barisan fabrikasi separa automatik.

“Dengan pengendali komersial di seluruh Malaysia dan Singapura sedang mempercepatkan pemodenan bas mereka, suntikan modal ini akan memastikan kami mempunyai keupayaan
pembuatan yang fleksibel.

“Pada masa sama, ia juga membolehkan kita mempunyai kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi model yang lebih efisien dan berkapasiti besar,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini hari ini.

Untuk rekod, Bus Cap kini mengendalikan empat barisan pengeluaran dengan kapasiti tahunan sebanyak 168 buah bas dan turut merekodkan kadar penggunaan kapasiti sebanyak 78 peratus pada tahun kewangan 2025.

Pada tahun sama, Bus Cap turut merekodkan pendapatan sebanyak RM88.08 juta, keuntungan selepas cukai sebanyak RM9.81 juta, dan berjaya menghantar sebanyak 131 buah bas secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Bernard mengesyorkan perang di Asia Barat yang masih berlarutan mempunyai kesan yang kecil terhadap keupayaannya dalam memperoleh bahan mentah seperti keluli dan aluminium.

“Dengan situasi terkini, saya berpendapat impak perang kepada perniagaan kami adalah kurang daripada lima peratus jadi ia tidak akan memberi kesan yang signifikan kepada keuntungan syarikat.

“Oleh itu, rancangan kami adalah untuk meningkatkan kecekapan serta melakukan kawalan kos bagi meningkatkan margin keuntungan kami,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN