KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit filem Tarung: Unforgiven, Aedy Ashraf, mencuri perhatian ramai apabila tampil menawarkan diri untuk menemani seorang peminat menonton filem lakonannya itu di pawagam.
Menerusi perkongsian di media sosial, seorang wanita meluahkan hasrat untuk membawa anak-anaknya menyaksikan filem berkenaan, namun mengakui harga tiket pawagam ketika ini agak membebankan.
“Saya nak bawa anak-anak tengok filem Tarung tapi itulah, mahal sangat tiket wayang sekarang. Aedy mana Aedy macam mana nak sokong ini?” tulis wanita itu.
Tidak menunggu lama, Aedy tampil membalas hantaran tersebut dengan menawarkan bantuan secara spontan.
“Awak beli yang tiket biasa kak, beritahu di mana nanti. Saya datang teman. Area KL lah,” balasnya.
Tindakan pelakon berusia 32 tahun itu nyata mengundang perhatian netizen apabila ramai turut membanjiri ruangan komen dengan permintaan sama untuk ditemani aktor berkenaan menonton filem tersebut.
Filem aksi Tarung: Unforgiven tampil dengan tagline ‘kau cuma ayam sabung’ dan mengetengahkan naratif penuh emosi dengan menjadikan kehidupan sebagai gelanggang perjuangan sebenar.
Naskhah arahan Razaisyam Rashid itu diterbitkan oleh ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures serta Astro Shaw.
Selain mengetengahkan jalan cerita sarat emosi hasil tulisan bersama Amar Amir, kekuatan filem tersebut turut disokong barisan pelakon berpengalaman.
Mierul Aiman memegang watak utama, manakala Aedy pula memperlihatkan sisi lakonan lebih matang menerusi karakter kompleks yang dibawakan.
Turut menjadi perhatian ialah gandingan pertama Bront Palarae bersama Zul Ariffin yang disifatkan antara elemen paling dinanti-nantikan penonton.
Selain itu, filem berkenaan turut dibintangi Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel, Razib Salimin, Shaharuddin Thamby dan Wak Ruzaidi.
Penyertaan petarung sebenar seperti Jai JMT dan Ijam Asri turut menambah elemen realistik dalam filem tersebut.
Dari sudut muzik pula, filem ini menampilkan dua runut bunyi eksklusif iaitu lagu Test nyanyian kumpulan Distorted serta Terbang oleh Noh Salleh.
Dalam perkembangan sama, barisan pelakon Tarung: Unforgiven dijadual turun padang bertemu peminat menerusi siri jelajah promosi bermula 8 Mei ini di beberapa lokasi seluruh negara.
Filem itu bakal ditayangkan di 148 pawagam di seluruh negara mulai 7 Mei ini, manakala jualan tiket awal telah dibuka sejak 3 Mei lalu.
Tarung: Unforgiven mengisahkan Hatta, bekas juara silat yang diburu dosa silam sebelum terpaksa memasuki gelanggang pertarungan haram demi menyelamatkan kakaknya.
Namun, Hatta tidak menyedari lawan yang bakal dihadapinya ialah sahabat lama sendiri, Isa yang kini berubah menjadi musuh akibat dendam lampau.









