WHO gantung pemindahan perubatan dari Gaza ke Mesir

WHO gantung pemindahan perubatan dari Gaza ke Mesir

WARGA Palestin memeriksa sebuah kenderaan yang menjadi sasaran serangan Israel di kem pelarian Maghazi di tengah Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggantung pemindahan pesakit dari Gaza ke Mesir melalui Lintasan Rafah selepas seorang kontraktor terbunuh akibat serangan kereta kebal tentera Israel pada Isnin.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kontraktor itu yang dikenali di peringkat tempatan sebagai Majdi Aslan, 54, terbunuh dalam insiden keselamatan dan dua kakitangan lain berada di situ tetapi tidak cedera. 

“Kami menggesa agar perlindungan diberikan kepada orang awam dan petugas kemanusiaan,” tegas Tedros dalam satu kenyataan rasmi.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan oleh Hamas berkata, kontraktor itu memandu kenderaan yang disewa oleh WHO di selatan Gaza apabila ia menjadi sasaran pasukan Israel.

Seorang pegawai perubatan di hospital, Dr. Fathi al-Lulu memaklumkan Majdi disasarkan ketika beliau sedang sibuk menyelaraskan proses pemindahan pesakit dari Gaza ke sebelah Mesir bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Saksi kejadian, Raed Aslan mendakwa kereta kebal tersebut muncul secara tiba-tiba dan menyasarkan pemandu kenderaan itu secara langsung bagi memaksanya berhenti. Beliau turut mempersoalkan keberkesanan gencatan senjata yang dilaungkan selama ini.

“Terdapat tiga orang di dalam kenderaan tersebut. Pemandu itu adalah individu yang terpaksa membayar harga yang mahal dalam situasi yang kami lalui sekarang.

“Gencatan senjata apa ini? Setiap hari ada sahaja orang yang terbunuh,” katanya dengan nada kecewa. 

Susulan insiden tersebut, WHO menggantung proses pemindahan perubatan bagi rakyat Palestin yang sakit dan cedera dari Gaza ke Mesir melalui Lintasan Rafah sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, Pengarah Wilayah WHO, Hanan Balkhy menyifatkan kematian kontraktor berkenaan sebagai satu kehilangan yang amat menyedihkan dan memberi amaran tindakan menggantung proses pemindahan perubatan tersebut akan memberikan impak besar kepada sistem kesihatan di wilayah bergolak itu.

“Penggantungan ini secara tidak langsung memutuskan laluan kritikal bagi lebih 18,000 pesakit di Gaza yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×