LONDON: Sebanyak 12 universiti di Britain didapati membayar sebuah firma keselamatan untuk memantau pelajar dan ahli akademik, terutamanya mereka yang menyatakan solidariti terhadap Palestin.
Siasatan bersama oleh Al Jazeera dan Liberty Investigates mendapati Horus Security Consultancy Limited, sebuah firma yang dikendalikan oleh bekas pegawai risikan tentera menerima bayaran sekurang-kurangnya 440,000 pound (RM1.7 juta) sejak 2022 untuk memantau aktiviti media sosial pelajar dan menjalankan penilaian ancaman keganasan.
Menurut laporan itu, sebanyak 12 universiti melantik Horus untuk menjalankan tugas berkenaan, termasuk Universiti Oxford, Imperial College London, University College London (UCL), King’s College London (KCL), Universiti Sheffield, Universiti Leicester, Universiti Nottingham dan Universiti Cardiff Metropolitan.
Dokumen dalaman mendedahkan seorang ahli akademik Palestin yang dipanggil memberi syarahan jemputan di Universiti Manchester Metropolitan serta seorang pelajar PhD pro-Palestin di Sekolah Ekonomi London adalah antara individu yang dipantau firma tersebut.
Firma itu dilaporkan meneliti aktiviti media sosial pelajar dan menjalankan penilaian ancaman keganasan secara sulit bagi pihak beberapa institusi elit Britain.
Pada Oktober 2024, University Bristol didakwa memberikan senarai kumpulan protes pelajar kepada firma tersebut untuk dipantau, termasuk aktivis pro-Palestin dan hak haiwan, menurut emel dalaman universiti.
Pendedahan ini dibuat selepas Al Jazeera dan Liberty Investigates mengemukakan permohonan kebebasan maklumat (FOI) kepada lebih 150 universiti.
Universiti Sheffield menyatakan ia menggunakan perkhidmatan luar untuk memantau isu yang mungkin menjejaskan universiti, seperti protes berskala besar dan menegaskan adalah tidak tepat” untuk mengatakan ia bertujuan menghalang aktivisme.
Imperial College London pula menafikan perkhidmatan yang dibayar kepada Horus merupakan pengawasan terhadap pelajar. Ia berkata, penggunaan perkhidmatan tersebut adalah untuk mengenal pasti potensi risiko keselamatan kepada komuniti kampus, termasuk aktiviti protes berhampiran, berdasarkan maklumat awam.
Setiausaha Agung Kesatuan Universiti dan Kolej, Jo Grady menyifatkan tindakan institusi itu sebagai ‘memalukan’ kerana membazir ratusan ribu pound untuk mengintip pelajar sendiri.
Sementara itu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan, Gina Romero berkata, penggunaan kecerdasan buatan untuk mengumpul dan menganalisis data pelajar atas alasan risikan sumber terbuka menimbulkan kebimbangan undang-undang yang serius.











