Retorik perang Trump buat dunia terus tertanya

Trump buat dunia terus tertanya-tanya

SEORANG wanita Iran berjalan melepasi mural anti AS dan Israel di Teheran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan melanjutkan gencatan senjata dengan Iran tanpa had bagi memberi ruang kepada rundingan damai, ketika Islamabad terus optimis menerima kahadiran wakil dari kedua-dua negara untuk menyambung pelan damai.

Trump dalam kenyataan di media sosial berkata, AS bersetuju dengan permintaan pengantara dari Pakistan untuk menangguhkan serangan ke atas Iran sehingga pemimpin dan wakil mereka dapat mengemukakan cadangan bersama dan rundingan dimuktamadkan dalam apa jua cara.

Dengan ramai pemimpin tertinggi Iran terbunuh, persoalan mengenai siapa yang memegang kuasa kini menjadi isu sebenar, sekali gus menyukarkan usaha diplomasi. Tanda-tanda awal dari Teheran juga dilihat kurang positif.

RETORIK PERANG

Seorang penasihat kepada Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, Trump sebenarnya cuba membeli masa untuk melancarkan serangan mengejut baharu.

Jurucakap tentera Iran turut mengulangi amaran negara itu bersedia membalas jika perkara tersebut berlaku.

Di Islamabad, persiapan bagi satu lagi pusingan rundingan masih diteruskan dengan beberapa kawasan bandar masih ditutup, namun harapan untuk pertemuan minggu ini dilihat semakin pudar.

Pemimpin Pakistan sebelum ini menjadi tuan rumah rundingan damai bagi menamatkan perang yang sudah mengorbankan ribuan nyawa dan menggugat ekonomi global.

Walaupun mengumumkan lanjutan gencatan senjata secara sepihak, Trump turut menegaskan sekatan Tentera Laut AS ke atas perdagangan laut Iran akan diteruskan, sesuatu yang dianggap Teheran sebagai tindakan perang.

Tiada reaksi segera daripada pegawai kanan Iran terhadap pengumuman Trump, namun reaksi awal dari Teheran menunjukkan kenyataan itu diterima dengan penuh keraguan.

Menurut Agensi berita Tasnim yang berkaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Teheran tidak pernah meminta lanjutan gencatan senjata, malah mengulangi ancaman untuk memecahkan sekatan AS dengan kekerasan. 

Seorang penasihat kepada Ghalibaf turut menyifatkan pengumuman Trump sebagai satu helah.

Retorik perang Trump dilihat berubah-ubah. Dua minggu lalu beliau mengeluarkan ancaman keras terhadap Iran, namun pada masa yang sama kelihatan mahu menamatkan konflik dan ketidaktentuan pasaran.

Melalui pengumuman terbaharu ini, Trump sekali lagi menarik balik ancamannya pada saat akhir untuk mengebom loji tenaga dan jambatan di Iran. 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres sebelum ini mengecam ancaman tersebut, sambil menegaskan undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang serangan ke atas orang awam dan infrastruktur awam.

Naib Presiden AS, JD Vance awalnya merancang untuk kembali ke Pakistan pada Selasa, namun seorang pegawai Rumah Putih berkata, beliau masih berada di Washington dan menghadiri mesyuarat dasar tambahan.

Sebelum pengumuman Trump, seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters perunding negara itu bersedia menghadiri pusingan rundingan baharu jika AS menghentikan dasar tekanan dan ancaman, serta menolak rundingan yang bertujuan memaksa penyerahan.

SEKATAN LAUT

Iran turut mengecam tindakan Tentera Laut AS yang memintas dan merampas dua kapal komersial Iran di laut sebagai sebahagian daripada sekatan, dengan kementerian luarnya menuduh AS sebagai lanun di laut.

AS bersama beberapa negara lain pula mengecam Iran kerana menghalang kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.

Beberapa jam selepas melanjutkan gencatan senjata, Trump sekali lagi menegaskan sokongan terhadap sekatan tersebut, dengan menyatakan penarikannya akan menjejaskan peluang mencapai perjanjian damai melainkan memusnahkan baki negara itu, termasuk pemimpinnya.

Sesi rundingan pertama di Islamabad gagal mencapai sebarang persetujuan, dengan tumpuan utama diberikan terhadap simpanan uranium diperkaya tinggi milik Iran.

Trump mahu bahan uranium itu dikeluarkan dari Iran bagi menghalang negara itu daripada memperkayakannya ke tahap membolehkan pembangunan senjata nuklear.

Iran menegaskan program nuklearnya hanya untuk tujuan aman dan ia mempunyai hak berdaulat untuk meneruskannya sebagai penandatangan Perjanjian Pemansuhan Senjata Nuklear (NPT).

Sementara itu, Menteri Pertanian Iran, Gholamreza Nouri berkata, sekatan laut AS tidak banyak menjejaskan keupayaan negara itu membekalkan barangan asas dan makanan, merujuk kepada pengeluaran domestik yang kukuh serta laluan import alternatif.

“Walaupun terdapat sekatan laut oleh AS, kami tidak menghadapi masalah membekalkan barangan asas dan makanan kerana saiz negara ini membolehkan import melalui pelbagai sempadan.

“Kira-kira 85 peratus produk pertanian dan barangan asas dihasilkan dalam negara, jadi keselamatan makanan negara terjamin,” katanya menurut agensi berita rasmi IRNA.

AS mengenakan sekatan laut ke atas pelabuhan dan pesisir Iran pada 13 April, beberapa hari selepas gencatan senjata diumumkan.

Iran mengkritik keras sekatan tersebut dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap gencatan senjata.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN