BEIRUT: Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan serangan udara Israel mengorbankan lapan individu, termasuk anggota penyelamat pertahanan awam serta mencederakan dua anggota tentera di selatan negara itu meskipun gencatan senjata sedang berkuat kuasa.
Dalam masa yang sama, tentera Israel mendakwa telah menemukan dan memusnahkan rangkaian terowong besar milik Hizbollah yang digunakan oleh pejuang elit kumpulan itu di selatan Lubnan.
Konflik antara Israel dan Hizbollah tercetus sejak awal Mac lalu apabila Israel menghantar pasukan tentera ke selatan Lubnan untuk memerangi kumpulan pejuang yang disokong Iran itu.
Keganasan dilaporkan masih berterusan walaupun gencatan senjata yang rapuh telah bermula pada 17 April.
Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan serangan udara Israel di bandar Majdal Zoun mengorbankan lima nyawa setakat angka awal yang diterima.
“Jumlah itu termasuk tiga paramedik daripada pertahanan awam Lubnan yang terperangkap di bawah runtuhan selepas serangan menyasarkan mereka ketika sedang menjalankan misi menyelamat,” lapor kementerian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian tersebut turut memaklumkan dua lagi mangsa terkorban manakala 13 cedera dalam serangan berasingan di bandar Jebchit.
Tentera Lubnan dalam satu kenyataan melaporkan dua anggotanya cedera selepas serangan Israel terhadap rondaan tentera.
Ini merupakan kali pertama tentera Lubnan mengesahkan anggotanya menjadi sasaran serangan sejak gencatan senjata bermula.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengecam keras serangan di Majdal Zoun, menyatakan Israel terus melanggar undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang melindungi orang awam.
Kementerian Kesihatan menambah, seorang lagi individu terkorban manakala 15 cedera termasuk lima kanak-kanak dan lima wanita dalam serangan berasingan di Jwaya.
Serangan tersebut berlaku sejurus selepas Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu kepada penduduk di lebih 12 kampung dan bandar yang menggesa mereka untuk segera bergerak ke arah utara.
Walaupun arahan pemindahan dikeluarkan, Menteri Luar Israel, Gideon Saar menegaskan Israel tidak bercita-cita menakluki sebarang wilayah di Lubnan dan akan meninggalkan selatan Lubnan sebaik sahaja Hizbollah dan organisasi pejuang lain dilumpuhkan sepenuhnya. -AFP










