SAN JOSE: Presiden Nicaragua, Daniel Ortega, pada Isnin menuduh rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai tidak stabil dari segi mental berikutan serangan ketenteraannya terhadap Iran yang telah menggegarkan Asia Barat dan ekonomi global.
Ortega mempunyai hubungan tegang dengan Washington, yang telah melabelkan kerajaan Nicaragua sebagai diktator. AS turut menuduh pemimpin Nicaragua merampas kuasa melalui pindaan perlembagaan dan menindas pembangkang.
Beliau sebelum ini mengekalkan nada sederhana terhadap Trump susulan perang yang bermula pada 28 Februari dengan serangan AS-Israel ke atas Teheran.
“Perang yang dilancarkan dengan cara presiden AS sekarang melaksanakannya adalah tipikal untuk seseorang yang telah hilang pertimbangan dan beranggapan beliau boleh melakukan apa sahaja, termasuk kekejaman,” kata Ortega semasa satu acara di Managua yang disiarkan oleh media milik kerajaan.
“Ia adalah masalah, boleh dikatakan, ketidakstabilan mental. Seperti yang kami katakan di sini, beliau tidak berada dalam keadaan waras,” tambahnya.
Bekas gerila berusia 80 tahun itu juga mengkritik Trump kerana menyiarkan imej yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) di platform Truth Social miliknya.
Presiden Nicaragua itu yang memerintah sejak 2007 selepas pilihan raya yang dipersoalkan oleh komuniti antarabangsa turut mengecam sekatan terbaru AS yang menyasarkan dua anak Ortega berhubung penglibatan dalam industri emas.
“Mereka semakin kehabisan orang untuk dikenakan sekatan,” katanya. – AFP










