JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berlepas ke Russia semalam bagi mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya, Vladimir Putin mengenai minyak, kata pejabat kerajaan.
Menteri Luar, Sugiono berkata, isu minyak yang mempunyai kepentingan strategik bagi negara Indonesia akan menjadi antara agenda utama.
“Beliau akan bertemu dengan Putin dan membincangkan isu geopolitik global dan sudah tentu, tentang situasi tenaga,” katanya.
Prabowo yang baru-baru ini mengadakan lawatan ke Korea Selatan dan Jepun, mempertahankan lawatan ke luar negaranya.
“Saudara dan saudari, ini demi mendapatkan bekalan minyak, saya perlu pergi ke luar negara,” katanya dalam ucapan kepada Kabinet minggu lalu.
Seperti banyak negara lain, Indonesia turut terkesan oleh kenaikan harga minyak global akibat perang di Asia Barat.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, yang memberi subsidi besar kepada bahan api, merupakan pengeluar minyak tetapi masih bergantung kepada import bersih.
Bulan lalu, kerajaan Prabowo mengumumkan catuan bahan api dan mewajibkan polisi bekerja dari rumah selama satu hari seminggu bagi penjawat awam untuk menjimatkan bekalan tenaga.
Ia turut berjanji tidak akan menaikkan harga bahan api dalam masa terdekat.
Duta Russia ke Indonesia, Sergei Tolchenov memberitahu wartawan pada Mac, negaranya terbuka untuk menjual minyak kepada Indonesia.
“Jika Indonesia memerlukannya, sila beritahu kami dan anda akan mendapatkannya,” kata Tolchenov ketika kedua-dua negara bersedia untuk latihan ketenteraan bersama di sebuah pelabuhan di Jakarta. – AFP










