DAMSYIK: Sebuah kandang besi diletakkan di tengah-tengah bilik bicara Istana Kehakiman, berhampiran pasar al-Hamidiyah di pusat bandar Damsyik bagi memulakan satu perbicaraan bersejarah.
Kira-kira jam 11 pagi Ahad, Atef Najib, sepupu kepada bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad yang telah digulingkan dibawa masuk ke dalam kandang tersebut.
Dengan wajah tanpa emosi dan memakai pakaian penjara berwarna coklat berbelang, Atef duduk untuk berhadapan dengan pertuduhan jenayah terhadap rakyat Syria.
Atef, yang merupakan bekas ketua keselamatan, dituduh mengarahkan tindakan keras dan ganas terhadap penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat Syria pada 2011.
Beliau merupakan antara pegawai kanan pertama yang ditangkap di pesisir pantai Syria pada Januari 2025, hanya beberapa minggu selepas kerajaan Assad tumbang.
Di dalam bilik mahkamah, bapa dan ibu mangsa menyifatkan detik itu sebagai sesuatu yang bersejarah. Turut kelihatan sebuah panel yang memaparkan wajah Hamza al-Khatib, kanak-kanak berusia 13 tahun yang menjadi simbol penentangan awal rakyat selepas dia ditahan dan diseksa dengan kejam.
Pada Mac 2011, Atef yang ketika itu mengetuai keselamatan politik di Deraa didakwa menguruskan kempen penindasan besar-besaran termasuk penahanan remaja sekolah yang menulis slogan antikerajaan di dinding sekolah.
Tindakan kejam itu kemudiannya mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara.
“Para syuhada adalah wira. Atef, kamu adalah anjing!” sorak sebahagian ahli keluarga mangsa yang hadir di mahkamah.
Perbicaraan ini dilihat sebagai usaha pihak berkuasa Syria untuk membuktikan proses keadilan transisi sedang berjalan, meskipun selepas 14 tahun negara itu hancur akibat perang.
Dua hari sebelum perbicaraan ini bermula, pihak berkuasa turut mengumumkan penangkapan Amjad Youssef, suspek utama dalam pembunuhan beramai-ramai Tadamon pada 2013.
Amjad sebelum ini tular menerusi rakaman video yang menunjukkan dia menembak orang awam sebelum mencampakkan mayat mereka ke dalam lubang besar.
Rakyat Syria kini terus mendesak keadilan bagi setiap jenayah yang dilakukan di bawah pemerintahan Assad sejak beliau digulingkan pada 8 Disember 2024 lalu. -AGENSI










