PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan bahawa tanah Orang Asli yang telah diwartakan telah dirampas seperti yang didakwa pihak tertentu.
Jakoa dalam kenyataannya berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak tepat dan menegaskan bahawa sehingga kini tiada mana-mana tanah Orang Asli yang diwartakan dirampas oleh mana-mana pihak.
“Untuk makluman, sehingga kini tiada mana-mana tanah Orang Asli yang diwartakan dirampas seperti yang didakwa,” katanya.
Dalam masa sama, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Jakoa turut menghargai pandangan serta cadangan yang dikemukakan menerusi memorandum yang diserahkan oleh pihak berkaitan.
katanya, setiap perkara yang dibangkitkan akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan sewajarnya diambil.
“KKDW melalui JAKOA sentiasa komited dalam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli dengan memahami serta menangani isu, keperluan dan aspirasi komuniti tersebut, sekali gus memastikan suara, kepentingan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Terdahulu, KKDW telah menerima memorandum yang dikemukakan oleh Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Greenpeace Malaysia serta gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli Malaysia berhubung isu berkaitan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Memorandum tersebut telah diserahkan oleh Tetuan Raj & Sach iaitu wakil NGO, Sachpreetraj Singh Sohanpal kepada Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri KKDW, Ts. Shahril Iqbal Abdul Rakeb.-UTUSAN










