PRN Negeri Sembilan: PH selesai pembahagian kerusi

PRN Negeri Sembilan: PH selesai pembahagian kerusi

ANWAR Ibrahim melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembahagian kerusi di antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) di 36 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah pun selesai.

Menerusi pembahagian untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan itu, PKR akan bertanding di 16 kerusi, DAP di 11 kerusi dan Amanah pula di sembilan kerusi.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyelesaian pembahagian kerusi itu membolehkan seluruh jentera parti itu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja PRN.

Menurutnya, fokus utama PH adalah untuk mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan dengan memenangi sebanyak mungkin kerusi yang dipertandingkan.

“Kita sudah selesaikan pembahagian kerusi. Kerusi terakhir yang dimuktamadkan ialah DUN Sungai Lui.

“Kalau kita menang Sungai Lui, kita menang 36-0 di Negeri Sembilan. Jadi, Alhamdulillah semuanya telah selesai dan fokus kita sekarang adalah kepada jentera pilihan raya ,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan di Karisma Arena di sini, malam tadi.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan , Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesepakatan pembahagian kerusi kali ini merupakan antara yang paling pantas dicapai oleh parti komponen dalam gabungan tersebut.

“Ini merupakan satu kesepakatan yang paling pantas kita lakukan dan Alhamdulillah ketiga-tiga parti memahami serta yakin dengan pembahagian yang telah dipersetujui.

“Bagi PKR, kami akan bertanding di 16 kerusi dan proses pemilihan calon akhir sedang dilakukan. Nama-nama yang berminat telah dikemukakan dan sedang dinilai,” katanya.

Berhubung kedudukannya di DUN Sikamat, Aminuddin menjelaskan ia belum diputuskan dan akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR dalam menentukannya.

“Saya serahkan kepada kepemimpinan Pusat untuk menentukan DUN yang akan ditandingi. Kalau Anthony Loke (Siew Fook) akan mempertahankan DUN Chennah, saya belum lagi,  saya sedang menanti mimpi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN