Misteri bebola api gergasi muncul di langit AS - Utusan Malaysia

Misteri bebola api gergasi muncul di langit AS

OBJEK terbakar dirakamkan di Pittsburgh, 17 Mac lalu. - NWS Pittsburgh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Peningkatan mendadak fenomena bebola api gergasi yang menerangi ruang angkasa Bumi baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan mengenai ancaman asteroid pemusnah, selain membangkitkan teori konspirasi yang mengaitkan objek tersebut dengan objek terbang tidak dikenali (UFO). 

Persatuan Meteor Amerika (AMS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang telah menjejaki penampakan meteor selama lebih satu abad, mendedahkan bahawa laporan mengenai bebola api bagi tiga bulan pertama tahun 2026 adalah yang tertinggi berbanding mana-mana suku pertama tahun sejak 2011. 

Data AMS menunjukkan corak luar biasa yang memerlukan siasatan serius memandangkan peningkatan mendadak batuan ruang angkasa ini tidak dapat dijelaskan secara muktamad melalui hujan meteor tempatan atau peristiwa semula jadi sedia ada. Data itu menunjukkan sebanyak 2,046 bebola api telah dijejaki sejak awal tahun ini.

Setakat ini, sebanyak 38 kejadian besar telah dilaporkan secara global oleh lebih 50 saksi bagi setiap kejadian. Angka itu melebihi jumlah gabungan kejadian tersebut dua tahun sebelumnya. 

Walaupun ramai saksi mendakwa penampakan itu mungkin melibatkan kapal angkasa makhluk asing yang melawat Bumi, penyelidik AMS menyatakan bahawa analisis mereka tidak menemui sebarang bukti trajektori luar biasa, penerbangan terkawal atau komposisi bukan semula jadi yang boleh menyokong teori tersebut. 

Sebaliknya, pihak AMS menjelaskan bahawa fenomena ini hanyalah peningkatan ganjil bilangan meteor semula jadi dari sistem suria dalaman yang melintasi laluan orbit Bumi. 

Jaluran cahaya terang ini terhasil apabila batuan ruang angkasa terbakar semasa memasuki atmosfera Bumi dan walaupun berpotensi bahaya jika serpihan besar menghentam kawasan kediaman, kejadian sedemikian dianggap sangat jarang berlaku.

Sepanjang Mac 2026, penampakan dilaporkan berlaku di Pennsylvania, Ohio, Texas, California dan di negara lain seperti Australia, Turkiye serta Jerman. 

Bulan lalu mencatatkan rekod paling ketara dengan peningkatan kejadian yang disaksikan oleh ratusan orang, selain kemunculan bebola api yang bertahan lebih empat saat serta penghasilan ‘dentuman sonik’ apabila meteor memecah atmosfera pada kelajuan melebihi 40,000 kilometer sejam. 

Sebagai contoh, satu kejadian di Jerman pada 8 Mac lalu telah dilaporkan oleh seramai 3,229 orang. Secara keseluruhan, banyak bebola api dikesan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding sedekad lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN