Misi elak serangan AS ke atas Iran - Utusan Malaysia

Misi elak serangan AS ke atas Iran

SEBUAH bangunan musnah akibat serangan Israel-AS di Universiti Teknologi Sharif, Teheran semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR RAYA KUWAIT/WASHINGTON/TEHERAN: Duta Iran ke Kuwait, Mohammad Toutounji pada Selasa menggesa negara-negara Teluk mencari jalan untuk mengelakkan satu tragedi berlaku di negara itu pada pagi ini waktu Malaysia.

Beliau membuat gesaan itu ketika tarikh akhir yang ditetapkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semakin hampir bagi Iran untuk bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata atau berdepan serangan ke atas infrastruktur awam.

Trump memberi amaran bahawa jika Teheran tidak membenarkan laluan bebas melalui laluan sempit minyak strategik, Selat Hormuz, menjelang tengah malam, AS  akan melancarkan apa yang disifatkannya sebagai kemusnahan menyeluruh terhadap infrastruktur kritikal Iran.

Beliau sebelum ini mengulangi ancaman itu di Rumah Putih, Washington DC dan menetapkan  tarikh akhir supaya Iran bersetuju dengan tuntutannya yang dijadual tamat pada Selasa pukul 8 malam waktu AS bersamaan jam 8 pagi waktu Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, duta Kuwait itu berkata kepada AFP: “Kami berharap negara-negara di rantau ini akan menggunakan segala keupayaan diplomatik dan politik mereka untuk mengelakkan tragedi sedemikian daripada menimpa rantau ini”.

Namun, Toutounji berkata, Teheran tidak mahu meningkatkan ketegangan di rantau ini.

“Sebaliknya, ia sentiasa berusaha untuk meredakan ketegangan  dengan tekun dan penuh itikad baik mengikuti usaha serta inisiatif negara-negara lain dalam hal ini,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa serangan AS ke atas kemudahan penting akan menyebabkan penghentian sepenuhnya eksport tenaga dari rantau ini.

Terdahulu pada Selasa, Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam berkata menerusi platform X bahawa usaha untuk menamatkan perang sedang menghampiri tahap yang kritikal.

“Usaha positif dan produktif dengan niat baik serta peranan perantaraan untuk menghentikan perang kini menghampiri tahap yang kritikal dan sensitif,” tulis Reza tanpa memberikan butiran lanjut.

Pakistan merupakan pengantara antara AS dengan Iran. Pakistan telah mengemukakan satu pelan dua peringkat untuk menamatkan perang dengan Teheran membuka semula Selat Hormuz yang ditutup sejak 28 Februari lalu. Kedua-dua pihak kini sedang mempertimbangkan rangka kerja tersebut, menurut satu sumber kepada Reuters.

GENCATAN SENJATA

Namun, media kerajaan Iran melaporkan Teheran menolak cadangan gencatan senjata itu.

“Iran telah menyampaikan kepada Pakistan responsnya terhadap cadangan Amerika untuk menamatkan perang,” menurut agensi berita IRNA, tanpa mendedahkan kandungan tawaran AS tersebut.

Sepanjang lebih sebulan peperangan, Iran bertindak balas terhadap serangan AS dan Israel yang menyebabkan pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh pada 28 Februari lalu dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu di seluruh rantau Teluk.

Iran telah menyasarkan kedutaan, pangkalan, aset AS, lapangan terbang, infrastruktur utama minyak termasuk gas dan mercu tanda, pelabuhan, hotel serta kawasan kediaman.

SUKARELAWAN

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa mengisytiharkan bahawa lebih 14 juta rakyat Iran telah menawarkan diri untuk mengorbankan nyawa demi mempertahankan negara.

Pezeshkian mengumumkan angka tersebut dalam satu hantaran di platform X.

“Lebih 14 juta rakyat Iran yang berbangga, setakat ini telah menyatakan kesediaan mereka untuk mengorbankan nyawa demi mempertahankan Iran. Saya juga pernah, sedang dan akan terus untuk berkorban demi Iran,” tulis Pezeshkian.

Sementara itu, seorang jeneral Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menggesa ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mengawal sekatan jalan pada waktu malam, tindakan yang disifatkan oleh kumpulan hak asasi manusia sebagai jenayah perang.

Televisyen kerajaan Iran turut mendakwa pada Selasa bahawa 14 juta orang telah menawarkan diri untuk berjuang jika AS dan Israel melancarkan pencerobohan darat. Dakwaan itu bagaimanapun tidak disertakan dengan maklumat sokongan lain.

Iran mempunyai kira-kira 90 juta penduduk.

Angka sukarelawan itu menggandakan dakwaan yang dibuat pada 2 April oleh Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang menulis di platform X bahawa:  “Satu gerakan nasional yang kuat sedang melanda seluruh negara telah membawa kira-kira 7 juta rakyat Iran yang sudah tampil dan mengisytiharkan bahawa mereka bersedia mengangkat senjata dan mempertahankan negara kita.”

Menurut Al Jazeera, seramai 1,937 orang  maut di Iran. Sekurang-kurangnya 24 orang di Israel, 13 askar AS dan 27 lagi terbunuh di negara-negara Teluk.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN