WASHINGTON: Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel menyatakan beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun berdepan tekanan daripada Amerika Syarikat (AS), sambil menggesa dialog terbuka dalam temu bual televisyen pertamanya bersama penyiar Amerika.
Dalam wawancara bersama NBC News, Díaz-Canel berkata, Cuba merupakan sebuah negara berdaulat yang bebas dan tidak tertakluk kepada kehendak Washington.
“Kami adalah sebuah negara yang bebas dan berdaulat. Kami mempunyai hak penentuan sendiri dan kemerdekaan dan kami tidak tunduk kepada kehendak AS.
“Kerajaan AS yang melaksanakan dasar bermusuhan terhadap Cuba tidak mempunyai asas moral untuk membuat tuntutan terhadap Cuba.
“Konsep pejuang revolusi menyerah kalah atau berundur bukan sebahagian daripada prinsip kami,” kata pemimpin berusia 65 tahun itu.
Washington sebelum ini melancarkan kempen tekanan terhadap Cuba yang diperintah oleh kerajaan komunis. Ia termasuk melaksanakan sekatan minyak secara tidak langsung dengan mengancam tarif ke atas mana-mana negara yang membekalkan minyak kepada pulau tersebut.
Cuba kini berdepan krisis tenaga serius sejak Januari lalu selepas bekalan utama dari Venezuela terhenti susulan penyingkiran pemimpin negara itu, Nicolas Maduro.
Negara kepulauan Caribbean itu juga telah lama dikenakan sekatan perdagangan oleh AS selama lebih enam dekad.
Presiden AS, Donald Trump, turut secara terbuka membayangkan kemungkinan untuk mengambil alih Cuba. Beliau membuat kenyataan serupa terhadap Greenland, Kanada dan Venezuela. Pentadbiran beliau juga melabelkan kepimpinan di Cuba sebagai ancaman kepada keselamatan negara AS.
Bulan lalu, Díaz-Canel berikrar untuk memberikan tentangan yang tidak dapat dipatahkan terhadap sebarang usaha sedemikian.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang berketurunan Cuba mengetuai rundingan dengan Havana dan menyeru perubahan besar dalam kepimpinan negara itu yang dianggapnya tidak cekap. Namun, Rubio menafikan beliau secara langsung menggesa Díaz-Canel untuk meletakkan jawatan.
Dalam wawancara tersebut, Díaz-Canel menyatakan Cuba bersedia untuk mengadakan dialog dengan AS tanpa sebarang syarat. – AFP










