Manusia menetap di bulan menjelang 2033 -NASA

Manusia menetap di bulan menjelang 2033 -NASA

GAMBAR bulan yang dirakam dari kapal angkasa Orion dalam misi Artemis II awal April lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), menjangkakan manusia bakal mendiami bulan secara tetap dalam tempoh tujuh tahun lagi, dengan sasaran angkasawan mula menetap di sana menjelang tahun 2033.

Pelan bercita-cita tinggi ini diumumkan susulan kejayaan misi Artemis II yang melakukan orbit lunar pertama dengan kru sejak 1972. Projek membina pangkalan tetap di bulan itu dianggarkan menelan belanja sebanyak AS$32. bilion (RM128.5 bilion).

Pentadbir NASA, Jared Isaacman dalam satu taklimat bersama rakan kongsi antarabangsa menegaskan misi kali ini bukan sekadar untuk mendarat, tetapi untuk menetap dalam jangka masa panjang.

“Sudah tiba masanya untuk kita kembali percaya. Kali ini matlamatnya bukan lagi tentang pacuan bendera atau kesan tapak kaki, tetapi matlamatnya adalah untuk terus kekal di sana,” katanya.

Fasa pertama projek kini sedang giat dijalankan dengan penggunaan pendarat komersial kecil bagi menghantar kargo serta peralatan sains ke kutub selatan bulan sebagai persediaan pendaratan angkasawan pada 2028.

Dalam tempoh dua tahun akan datang, beberapa robot penjelajah dan alat penyelidik akan dihantar bagi memeta kawasan, mencari sumber ais untuk bekalan air serta memantau tahap radiasi. 

Misi ini juga bertujuan menguji sistem komunikasi dan mengkaji kesan debu bulan semasa pendaratan bagi memastikan keselamatan kru di masa hadapan.

Selain itu, satelit komunikasi pertama bulan, Lunar Pathfinder buatan Britain dijadualkan pelancarannya pada tahun depan. 

Satelit ini akan bertindak sebagai penghubung komunikasi bagi angkasawan yang berada di bahagian gelap bulan yang selama ini dianggap sebagai zon mati komunikasi.

Menjelang 2027, misi Artemis III akan menguji kapal angkasa yang bakal membawa angkasawan ke orbit. Syarikat gergasi milik hartawan Elon Musk dan Jeff Bezos, SpaceX serta Blue Origin kini bersaing sengit untuk menjayakan misi pendaratan pertama tersebut.

Jika semua ujian pendaratan berjalan lancar, misi Artemis IV dan V dijangka akan mula mendaratkan angkasawan di permukaan bulan secara rasmi pada 2028. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN