HANOI: Jualan kenderaan elektrik (EV) meningkat mendadak di Asia Tenggara apabila pengguna yang berjimat cermat membanjiri bilik pameran untuk mengelakkan kenaikan harga bahan api yang didorong oleh perang di Asia Barat.
Negara-negara Asia menerima kesan yang sangat ketara berikutan kejatuhan mendadak penghantaran minyak mentah yang mereka bergantung kepadanya dan mempunyai sedikit alternatif untuk menggantikannya.
Namun, krisis tenaga ini menjadi satu durian runtuh kepada pengeluar EV terkemuka Vietnam VinFast dan pengeluar dari China.
Seorang pekerja pejabat Vietnam, Do Thi Lan, menjelaskan kiraan mudah mengenai daya tarikan kereta tersebut di sebuah bilik pameran VinFast di Hanoi.
“Kami perlu mengira perbelanjaan bulanan kami, kerana wang yang kami belanjakan untuk petrol semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya memiliki sebuah kereta yang menggunakan petrol tetapi sedang mempertimbangkan untuk membeli kenderaan elektrik bagi menjimatkan kos.
Seorang lagi penduduk, Dao Thi Hue, yang juga berada di bilik pameran itu, turut bercadang beralih kepada EV.
“Memandu EV jauh lebih baik daripada memandu kenderaan petrol dari segi kos dan juga dari segi penjimatan bahan api, selain tidak perlu beratur untuk mengisi minyak,” kata guru sekolah itu.
Harga minyak mentah telah melonjak sekitar 50 peratus sejak bermulanya perang di Asia Barat dan sekali lagi melepasi AS$100 (RM395) setong pada Isnin. Ia menyebabkan peningkatan harga di stesen minyak.
VinFast, yang disenaraikan di bursa saham Nasdaq di New York, mencatatkan lonjakan 127 peratus dalam jualan tahunan di Vietnam pada bulan Mac, mencecah 27,600 buah kereta. – AFP










