Indonesia pertimbang potong 25 peratus gaji menteri

Indonesia pertimbang potong 25 peratus gaji menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan membincangkan cadangan untuk memotong gaji menteri dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha kecekapan belanjawan negara.

Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya berkata, pelan tersebut akan diperincikan dalam mesyuarat akan datang yang dijadualkan berlangsung di Istana Presiden, Jakarta.

“Cadangan ini akan dibincangkan dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada pemberita pada Selasa sambil menegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad diambil.

Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa menyatakan sokongan terbuka terhadap cadangan tersebut, namun menjelaskan keputusan akhir terletak di tangan Presiden, Prabowo Subianto.

“Saya tidak pasti mengenai gaji ahli Parlimen, tetapi bagi saya, tiada masalah untuk memotong gaji menteri,” kata Purbaya pada Isnin. Beliau menganggarkan kadar potongan yang dicadangkan adalah sekitar 25 peratus.

Terdahulu, Purbaya memaklumkan Kementerian Kewangan akan menentukan sendiri peratusan potongan bajet bagi setiap kementerian dan agensi bagi memastikan keberkesanan langkah penjimatan tersebut.

Beliau menjelaskan, rancangan awal untuk membiarkan setiap institusi menentukan kadar potongan masing-masing telah dibatalkan kerana bimbang ia tidak mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Saya sendiri akan menentukan peratusannya, dan setiap institusi perlu menyesuaikan perbelanjaan mereka mengikut kadar tersebut,” tegasnya pada 19 Mac lalu.

Menurut beliau, dasar baharu itu akan menyasarkan perbelanjaan yang dianggap tidak penting, termasuk penganjuran mesyuarat yang tidak perlu serta program-program yang memberikan impak rendah kepada rakyat.

Kini, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan langkah kecekapan itu merangkumi gaji menteri dan timbalan menteri.

“Saya menyokong idea itu. Ia adalah satu langkah yang baik,” tambahnya lagi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN