DHAKA: Wabak campak yang belum pernah berlaku sebelum ini makin membebankan hospital di Bangladesh ketika pegawai perubatan bergelut untuk mengasingkan dan merawat ratusan kanak-kanak yang dimasukkan setiap hari dengan gejala penyakit mudah berjangkit itu.
Bangladesh kini berdepan wabak campak paling maut dalam sejarah terkininya, susulan gangguan terhadap program vaksinasi besar-besaran yang sepatutnya dilaksanakan sepanjang 2024 hingga 2025, tempoh yang menyaksikan pergolakan politik selepas protes dipimpin pelajar menggulingkan pentadbiran terdahulu.
Jumlah jangkitan yang dilaporkan serta kematian berkaitan terus meningkat sejak 15 Mac, dengan lebih 32,300 kes disyaki campak dan sekurang-kurangnya 259 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia.
Sejak permulaan wabak, kira-kira 1,000 orang dimasukkan ke hospital setiap hari, separuh daripadanya di Dhaka, di mana pesakit dirujuk dari kawasan lain yang kekurangan kemudahan rawatan penyakit berjangkit khusus.
Di Hospital Penyakit Berjangkit Mohakhali, wad kini beroperasi melebihi kapasiti hingga terpaksa menempatkan pesakit di koridor.
“Kebanyakan usaha kami kini tertumpu kepada pesakit campak, majoritinya kanak-kanak. Kami kini tidak dapat menyediakan rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit penyakit berjangkit lain.
“Memastikan pengasingan pesakit campak kini menjadi satu cabaran dan kami tidak mempunyai jururawat yang mencukupi untuk menangani kecemasan ini.
“Akibatnya, kami terpaksa membenarkan ibu bapa atau penjaga tinggal bersama anak mereka di hospital, yang meningkatkan risiko penularan.” jelas Perunding Kanan hospital itu, Dr. Ariful Bashar kepada Arab News.
Hospital dan Institut Shishu Bangladesh di Dhaka yang pakar dalam rawatan pediatrik, doktor turut melihat peningkatan kes komplikasi dalam kalangan kanak-kanak, sekali gus menambah tekanan terhadap kemasukan pesakit.
“Apabila pesakit campak kehilangan imuniti, mereka menjadi lebih terdedah kepada jangkitan lain seperti radang paru-paru dan cirit-birit. Dalam keadaan ini, situasi boleh menjadi kritikal.
“Kami tidak pernah melihat wabak campak seperti ini sebelum ini di negara kami. Bukan sahaja hospital kami, malah kebanyakan hospital kini menerima pesakit melebihi kapasiti,” kata Pengarah Hospital itu, Prof. Dr. Mohammad Mahbubul Huq.










