HONG KONG: Penduduk Hong Kong terpaksa membayar harga petrol paling ekstrem di dunia iaitu sekitar AS$15.6 (RM62.89) segelen atau 3.78 liter, paling tinggi di dunia ketika ini.
Menurut data daripada laman penjejak harga tenaga, GlobalPetrolPrices.com, bandar separa autonomi China ini sememangnya sudah sekian lama mencatatkan harga petrol tertinggi di dunia.
Ia berlaku sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melancarkan perang terhadap Iran yang mencetuskan krisis tenaga bersejarah ini.
Konflik yang melibatkan negara-negara pengeluar minyak di Teluk dan penutupan laluan perdagangan kritikal di Selat Hormuz telah menyebabkan harga minyak dunia melonjak drastik sepanjang bulan lalu.
Situasi ini amat perit bagi Hong Kong dan ekonomi Asia lain yang sangat bergantung kepada sumber tenaga dari Asia Barat yang diangkut melalui selat tersebut.
Walaupun pemilik kereta persendirian hanya mewakili kira-kira 8,4 peratus daripada 7.5 juta penduduk bandar itu, pakar ekonomi memberi amaran bahawa harga petrol yang melambung tinggi akan memburukkan kadar inflasi dan meningkatkan kos logistik. Ia akhirnya akan memberi kesan rantaian kepada sektor lain.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, melahirkan kebimbangan mengenai lonjakan harga tersebut. Beliau berjanji akan memantau turun naik harga dengan teliti. Buat masa ini, bekalan tenaga di bandar itu dilaporkan masih selamat memandangkan Hong Kong memperoleh sekitar 80 peratus produk minyaknya dari Tanah Besar China.
“Dengan kelebihan mendapat sokongan kuat dari China, Hong Kong mampu mengekalkan bekalan tenaga yang stabil di tengah-tengah krisis kekurangan tenaga yang melanda banyak wilayah dan bandar lain di seluruh dunia,” menurut kenyataan akhbar kerajaan pada Rabu.
Susulan kenaikan ini, media tempatan melaporkan semakin ramai pemilik kenderaan memilih untuk mengisi minyak di Tanah Besar China. Ia kerana harga petrol boleh menjadi serendah satu pertiga daripada kos di Hong Kong.
Bagi Jason Kan, seorang perunding komersial bebas yang memandu kereta kompak, kos pengisian minyak di Hong Kong meningkat 15 peratus lebih mahal berbanding sebelum perang, walaupun setelah mengambil kira diskaun keahlian.
“Kenaikan 15 peratus ini pasti memberi impak besar kerana harga bahan api di Hong Kong memang sudah sedia tinggi. Ia merangkumi bahagian yang agak besar daripada pendapatan purata penduduk, terutamanya jika dibandingkan dengan Taiwan atau Jepun,” katanya. – CNN










